Kereta turbo sekarang dan dahulu ketara sekali beza DNAnya. Banyak kereta mampu milik sekarang seperti model baharu Almera 1.0 dan Civic 1.5 dan beberapa jenama lain didatangkan dengan pengecas turbo.
Seingat penulis, kereta awal yang menampilkan enjin bersesaran kecil tetapi dijana kuasa turbo adalah Volkswagen Vento 1.0 liter turbo dan tentunya Proton Preve 1.6 turbo.
Bagaimanapun, pengeluar sekarang memasang turbo pada enjin kecil berbanding memilih enjin aspirasi semula jadi bagi tujuan penjimatan minyak dan juga untuk mematuhi peraturan pelepasan asap yang semakin ketat seperti di Thailand.
Kebanyakan kereta turbo tersebut mempunyai prestasi ‘mid range’ yang bagus tetapi lesu jika ditekan untuk klimaks ‘top end’.
Enjin turbo juga amat digemari oleh peminat kereta era 90-an dahulu. Mereka juga melakukan modifikasi khususnya memasang enjin turbo dengan niat ‘murni’ iaitu untuk merasai kuasa pecutan dan kelajuan ‘maksimum’ mengikut tanggapan masing-masing.
Sepanjang bergaul dengan peminat ‘hobi kami mahal’ itu, penulis belum pernah mendengar hatta seorang pun berkata, dia membelanjakan ribuan ringgit untuk mengubah suai kereta dan memasang turbo supaya kenderaannya lebih jimat minyak atau ‘mesra alam’.
Sebagai contoh, model paling bawah ketika itu tetapi amat digemari untuk mereka yang mula berjinak dengan modifikasi kereta untuk prestasi adalah Kancil.
Model ‘goreng pisang panas’ keluaran Perodua itu mungkin adalah kereta paling banyak yang dimodifikasi kerana memiliki harga berpatutan dan half cut serta ‘enjin lantai’ yang banyak.
Kereta ultramini atau ‘kei car’ dua pintu tersebut di Jepun hanya dikeluarkan dengan enjin sesaran 650cc dan menggunakan jenama Mira atau Cuore dan variannya seperti Mira Gino dan lebih rare, Mira VAN.
Namun, pengeluarnya, Daihatsu memberi pilihan pelbagai jenis enjin, malah termasuk pacuan empat roda untuk model tersebut. Pemilik yang baharu berjinak dengan hobi modifikasi kereta ramai memilih enjin turbo L-200 pacuan roda hadapan dengan lebih 48 kuasa kuda.
Kedengaran kecil tetapi jika mengambil kira berat kereta Mira sekitar 640 kilogram, enjin tiga silinder itu menghasilkan pecutan yang mampu membuat pemandunya tersenyum.
Kereta ini juga terasa amat laju pada kelajuan lebih 100 kilometer sejam.
Mereka yang lebih hardcore akan memilih varian yang lebih mahal untuk diselenggara iaitu enjin L-500 empat silinder, namun masih berkapasiti 650cc.
Enjin ini digemari kerana ia ‘kurang bergegar atau tidak bergegas langsung’ semasa melahu dan memijak pedal minyak serta lebih berkuasa.
Malah, seorang pemilik kereta itu yang sanggup berhabis belasan ribu ringgit untuk modifikasi menggunakan enjin L-500 pernah berkata, dia hanya memerlukan gear empat untuk mendaki Genting Highlands.
Selain Kancil, model popular lain dalam kalangan penggemar modifikasi ‘mampu milik’ ialah jenama Proton seperti Saga, Wira, Satria dan Putra dan akhir sekali Perdana untuk mereka yang memiliki dompet tebal.-K! ONLINE