SASSUOLO – AC Milan mengukuhkan cengkaman di persada saingan Serie A selepas melakar kemenangan 2-1 ke atas Sassuolo di Stadium Mapei malam kelmarin.
Pada perlawanan itu, Milan menjaringkan dua gol menerusi Rafael Leao dan Alexis Saelemaekers sementara gol pasukan tuan rumah dijaringkan Domenico Berardi.
Lebih manis, gol yang dijaringkan Leao merupakan gol terpantas dalam sejarah Serie A apabila pemain Portugal itu hanya memerlukan enam saat untuk membuka tirai jaringan.
Jurulatih Milan, Stefano Pioli menyuarakan kegembiraannya atas kemenangan itu selain memuji Leao dan Hakan Calhanoglu ketika melakukan gerakan untuk gol pertama.
“Kami sentiasa berdepan beberapa situasi ketika sepak mula, jadi saya mahu kami bermula dengan baik. Leao dan Calhanoglu melakukan tugas dengan baik untuk gol pembukaan itu.
“Saya sentiasa beritahu semua pemain saya tidak berpuas hati dengan keputusan seri, jadi kemenangan hari ini (kelmarin) berikan saya kepuasan,” kata Pioli.
Sementara itu, beliau menegaskan, keputusan meletakkan Leao pada posisi penyerang membuahkan hasil memandangkan mereka turun tanpa penyerang semula jadi. – AGENSI