fbpx

Lagu cinta, warna-warni muzik Yonnyboii

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YONNYBOII

PENYANYI emo-rap popular Yonnyboii melakar sejarah tersendiri apabila tampil dengan sebuah album E.P. yang cukup istimewa berjudul Yonny, naskhah yang akan mengungguli carta-carta muzik tempatan.

Tampil dengan sembilan buah lagu, padat dengan lontaran vokal penuh emosi pastinya akan mengubat kerinduan terhadap peminat Yonnyboii yang menantikan buah tangan bintang pujaan ramai itu.

Sarat dengan pelbagai adunan emosi, penyanyi rap yang cukup terkenal sebagai pelakar melodi itu menyatakan kemunculan album tersebut sebagai hadiah tidak ternilai bukan sahaja buat peminatnya.

Bahkan naskhah tersebut bakal menjadi sebuah karya mukadimah atau pengenalan dirinya kepada khalayak umum tentang siapakah Yonnyboii sebenar.

Sungguhpun hanya berstatus E.P, namun album tersebut sarat dengan pengisian jiwa muzik tulus untuk pendengar memahami gelojak rasa yang harus diteroka dan dihayati dalam setiap bait lirik dan melodi dihasilkan.

Album E.P berjudul Yonny mengandungi sembilan buah lagu hebat Yonnyboii diterbitkan oleh syarikat rakaman Universal Music Malaysia dan Def Jam Malaysia.

“Menerusi album E.P ini, saya mengambil kesempatan memperkenalkan diri sebenar dengan menyatakan kejujuran dalam setiap lenggok melodi serta pengisian lirik yang terkandung.

“Apa boleh dikatakan, album ini sarat merencanakan warna-warni seni saya, bak pelangi. Sebuah penceritaan sebelum dan selepas, ibarat rangka dibina untuk mengukuhkan pelengkap karya dalam album penuh selepas album E.P.

“Ibaratnya, album E.P. Yonny adalah rangka sebelum, manakala album penuh yang akan diterbitkan kelak merupakan binaan selepas lengkap strukturnya,” jelasnya.

Formula Yonnyboii

Sebagai bintang mega yang telah mencatatkan pencapaian sejarah industri hiburan sebagai lagu paling banyak dimainkan menerusi pelantar digital, Yonnyboii, 22, seakan sudah arif dengan selera pendengar sekarang.

Tidak mustahil dengan kemunculan album berkenaan, pemilik nama lengkap Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin itu diramal sekali lagi memukau peminat industri hiburan tanah air kerana magis yang ada pada bintang hebat itu.

Buktinya, single Salahku yang diterbitkan kurang beberapa bulan yang lalu telah mendapat tontonan lebih tiga juta tontonan dalam YouTube dan tular menerusi semua pelantar muzik.

Rentetan kejayaan berganda, tanpa memandang ke belakang, Yonnyboii terus melangkah melahirkan lagu-lagu berkualiti dalam album Yonny sekali gus mahu mengulangi semula formula kejayaan sama.

Caranya adalah dengan menjalin kerjasama bersama penerbit-penerbit yang banyak membantunya selama ini.

“Bagi saya, tidak susah mahu hasilkan album E.P. apabila dapat bekerja secara profesional dengan orang yang kita percaya. Terus-terang, kalau boleh saya nak buat semuanya sendiri. Susah sebenarnya sebab sebelum ini kerja seni saya dapat sentuhan orang lain.

“Namun selepas pengalaman kejayaan lalu serta kualiti yang ada pada produser-produser ini menepati kehendak saya, saya rasa tidak salah untuk membina keyakinan dan mencipta semula kejayaan seperti sebelumnya,” jelasnya lagi.

Enam orang penerbit berbakat besar seperti Adam E, Freddie Laut, Zachsutton, Vincent88, Mingaling dan Wolfie menjadi tunjang kepada pembikinan lagu-lagu seperti Salahku, Salahku 3.0, Pelik,

Bayang, Hidup Giler, Sheenta, Sheenta With Shee, Boleh Bla dan Aku Itu Aku.

Lagu Bayang misalnya mendapat sentuhan penerbit Adam E, penggubah lagu muda yang banyak menerbitkan lagu-lagu hit Yonnyboii hingga menjadi siulan anak muda hari ini.

Mengambil masa kurang empat minggu ketika musim pandemik, sebanyak 80 peratus lagu-lagu dalam album baharu Yonny merupakan karya yang pernah dirakamkan tetapi digubah semula dengan sentuhan penambahbaikan kualiti rakaman luar biasa.

Yonnyboii dilihat semakin arif dengan selera pendengar sekarang.

Lagu cinta

Kemunculan album E.P Yonnyboii menampilkan sisi lain penyanyi kelahiran negeri Perak itu apabila Yonny menggarap elemen cinta dalam lagu Sheenta, sebuah lagu yang berkisahkan seorang yang sudah angau dan mabuk cinta pada gadis yang mencuri hatinya.

“Lagu ini menggambarkan bagaimana seseorang itu mahu meluahkan perasaan yang dipendam terhadap ‘crush’ dan berusaha untuk menawan hatinya. Menerusi lagu Sheenta juga dia mengisytiharkan rasa cinta pada buah hatinya itu dengan penuh rasa ikhlas dan tulus,” jelasnya tersenyum.

Apa yang menarik, terdapat dua versi lagu Sheenta iaitu versi asal dan versi penampilan bersama bakat baharu, Shee seorang selebriti media sosial yang turut menyumbang suara dalam lagu cinta luar biasa berkenaan.

Berbeza dengan lagu-lagu hits garapannya, Sheenta pastinya akan menjadi batu pengukur terhadap kehebatan Yonnyboii menghasilkan karya secara versatil mengikut acuannya sendiri.

Dengarkan dan boleh nilaikan sendiri!

Album E.P berjudul Yonny mengandungi sembilan buah lagu hebat Yonnyboii diterbitkan oleh syarikat rakaman Universal Music Malaysia dan Def Jam Malaysia.

Karya berkenaan boleh didengari menerusi semua pelantar muzik bermula 18 Disember 2020.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI