PETALING JAYA – Kadar kemiskinan negara mencatatkan penurunan sebanyak 2.0 peratus pada tahun 2019 berbanding tahun 2016.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Arthur Joseph Kurup berkata, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) mutlak adalah 5.6 peratus meliputi 405,441 isi rumah pada tahun 2019 berbanding 7.6 peratus meliputi 525,743 isi rumah pada tahun 2016.
“Ini menunjukkan bahawa usaha pembasmian kemiskinan oleh semua pihak berjaya mengurangkan kadar kemiskinan.
“Namun, masih terdapat golongan miskin dan berpendepatan rendah khususnya daripada isi rumah B40 masih perlu dibantu,” katanya semasa menjawab pertanyaan lisan Senator Dr. Nuing Jeluing di Dewan Negara hari ini.
Katanya, kerajaan kini sedang menggubal dasar dan strategi bagi menangani kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat dalam Rancangan Malaysia Ke-12 yang akan dibentangkan tahun depan. – K! ONLINE