fbpx

Didakwa di hospital, pegawai imigresen mengaku tidak bersalah terima suapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan ketika ditemui selepas prosiding hari ini.

SHAH ALAM – Seorang pegawai Jabatan Imigresen mengaku tidak bersalah di sebuah hospital di sini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3,000 supaya tidak mengambil tindakan ke atas satu kertas siasatan yang disiasatnya pada November tahun lalu.

Tertuduh Zulkifly Za’Par ,46, yang juga Timbalan Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pencegahan Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Pertuduhan itu dibaca di sebuah bilik khas di hospital itu kerana tertuduh menerima rawatan bagi penyakit darah tinggi dan sakit jantung.

Terdahulu, pendakwaan sepatutnya dijalankan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur namun adik tertuduh hadir memaklumkan tertuduh dirujuk ke hospital itu termasuk turut mengemukakan sijil cuti sakit.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria yang meneliti semua sijil cuti sakit kemudian memohon arahan mahkamah menuduh tertuduh di hospital.

Sebelum ini pada 11 Disember lalu tertuduh juga tidak hadir pada sebutan pertuduhan kali pertama kesnya berikutan masih menerima rawatan di hospital.

Mengikut pertuduhan, Zulkifly didakwa telah memperoleh secara rasuah bagi dirinya sebagai ejen Jabatan Imigresen Malaysia, suatu suapan berjumlah RM3,000 daripada seorang lelaki melalui pihak ketiga yang merupakan seorang wanita sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas kertas siasatan yang disiasatnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Persiaran Perdana, Presint 3, Putrajaya pada 21 November 2019 yang didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 34 akta yang sama.

Difahamkan kertas siasatan itu berhubung cap kertas keselamatan palsu.

Jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Siti Noor Hafizan mencadangkan jaminan RM15,000 dan tertuduh yang diwakili peguam S.Rishee tidak membantah jumlah ikat jamin tersebut.

Hakim Azura kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM minggu pertama setiap bulan.

Pada sama sama tertuduh juga dilarang menggangu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Januari 2021 untuk sebutan semula kes.K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI