fbpx

Bukan 6 tetapi 12 gol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MCTOMINAY (kanan) berjaya meledak dua gol pantas pada awal perlawanan ketika United mencatat kemenangan 6-2 menewaskan Leeds awal pagi semalam. – AFP

MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menghamburkan pujian terhadap persembahan para pemainnya yang meraih kemenangan 6-2 menewaskan Leeds United awal pagi semalam.

Bagaimanapun, pengurus dari Norway itu mengakui bahawa perlawanan tersebut seharusnya berakhir dengan jaringan 12-4 berdasarkan peluang yang dimiliki oleh kedua-dua pasukan pada aksi berkenaan.

Pada perlawanan tersebut, kedua-dua pasukan berjaya me­lakukan 43 percubaan ke arah gawang lawan masing-masing sepanjang 90 minit perlawanan apabila mempamerkan taktikal menyerang.

Pemain tengah United, Scott McTominay membuka tirai ja­ringan ketika perlawanan baru berlangsung 69 saat sebelum menambah jaringan kedua peribadi selang seminit kemudian untuk muncul sebagai pemain pertama di Liga Perdana Inggeris yang menjaringkan dua gol dalam tempoh tiga minit.

“Ia adalah aksi yang menakjubkan sejak perlawanan bermula. Kami memang merancang untuk bermain secara menyerang dan Scott melakukan tugas dengan baik melalui dua gol dalam tempoh yang singkat.

“Kami berjaya menguasai perlawanan, melakukan larian untuk menjadikan permainan seimbang dan ia merupakan satu cabaran. Saya fikir ia mungkin perlu berakhir dengan keputusan 12-4,” katanya.

Keputusan itu menyaksikan United kini melonjak ke kedudukan ketiga liga dengan perbezaan lima mata berbanding pendahulu, Liverpool tetapi masih kekurangan satu perlawanan.

Bagaimanapun, Solskjaer me­ngakui bahawa beliau tidak begitu menghiraukan mengenai ke­dudukan liga pada ketika ini.

“Kami belum pun berada pada pertengahan saingan. Kedudukan liga bukanlah keutamaan tetapi kami cuba memberikan fokus kepada peningkatan pasukan.

“Kami sudah berada pada fasa yang terbaik dan kekuatan pasukan juga mula mantap. Itu yang peminat kami mahukan,” jelas­nya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI