DUBAI, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) – Seorang wanita di UAE dikecam netizen selepas memberikan sebuah kereta mewah berharga £250,000 (RM1.3 juta) kepada anak lelakinya yang menyambut hari jadi ke-12 baru-baru ini, lapor akhbar The Sun UK.
Rakaman video yang dimuat naik di laman Instagram memaparkan Gulnora Mukhedinova, 34, menghadiahkan kereta Rolls-Royce Wraith kepada anaknya, Rannum sempena sambutan tersebut.
Tindakan Gulnora bagaimanapun mengundang kecaman pengguna laman sosial tersebut yang menganggap hadiah itu tidak sesuai untuk kanak-kanak seusianya.
“Ini adalah perbuatan yang tidak bijak kerana anak anda baru berusia 12 tahun dan masih belum pandai memandu,” kata seorang netizen.
Seorang lagi netizen memberitahu bahawa dia tidak akan membeli hadiah mahal kepada anak-anak seperti telefon pintar iPhone apatah lagi kereta Rolls-Royce.
Namun, sesetengah netizen mempertahankan tindakan wanita itu memberikan hadiah mewah kepada anaknya.
“Anda semua perlu berhenti membenci dia. Keluarga itu berusaha keras mencari wang sendiri. Jadi terpulang kepada mereka untuk membelanjakan harta sendiri,” ujar seorang pengguna Instagram.
Undang-undang Dubai tidak membenarkan individu berusia bawah 18 tahun memandu kenderaan dan Rannum perlu menunggu enam tahun lagi untuk berbuat demikian.
Kekayaan Gulnora adalah hasil kerja kerasnya sebagai pengarah kreatif di sebuah syarikat pakaian pengantin mewah, Baravia Fashion.
Dia juga merupakan pengasas salun rambut dan kecantikan mewah yang menawarkan khidmat penyambungan rambut serta rias kuku di Dubai. – Agensi