SHAH ALAM – Semua petugas dan kakitangan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dicadangkan menjalani ujian saringan Covid-19 susulan peningkatan kes Covid-19 di hospital itu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, cadangan mengenainya akan dibincang bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dalam tempoh terdekat.
“Kita akan membantu proses saringan itu dan JKNS dilihat tiada halangan untuk turut melaksanakannya.
“Namun, kawasan hospital itu agak padat dan kita akan membincangkan mekanisme terbaik bagi pelaksanaan tersebut kelak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan sumbangan kebajikan sempena Hari Krismas di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.
Kosmo! hari ini melaporkan enam individu termasuk kakitangan dan pesakit di HTAR dan Hospital Serdang disahkan positif Covid-19 .
HTAR merekodkan empat kes positif melibatkan dua kakitangan dan dua pesakit sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan seramai 143 individu dijangkiti pandemik itu setakat ini.
Amirudin menegaskan, ujian saringan itu perlu segera dilakukan berikutan petugas dan kakitangan hospital berdepan risiko tinggi jangkitan.
Ketika ditanya pemberita keperluan mengusulkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar (Temco) di daerah Klang, Amirudin memaklumkan memaklumkan perkara itu bergantung kepada situasi terkini kes Covid-19 dan akan menemui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat bagi membincangkan situasi pandemik di negeri ini.
Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) sedang merangka beberapa langkah terbaharu bagi mengekang penularan pandemik sebelum mengumumkannya secara rasmi kelak. -K!ONLINE