KEJAYAAN pemain sensasi negara, Safawi Rasid dalam membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) bergelar juara Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut menyaksikannya berpeluang cerah untuk membolot hadiah utama Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2020 (ABK20) Virtual pada 30 Disember ini.
Safawi yang telah disenarai pendek untuk kategori Pemain Tengah Terbaik dijangka tidak mempunyai masalah untuk meraih undian tertinggi meskipun terpaksa berdepan dengan tiga rakan sepasukan di JDT iaitu Gonzalo Cabrera, Afiq Fazail dan Leandro Velazquez.
Berdasarkan senarai calon yang dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) semalam, pemain berusia 23 tahun itu turut bersaing dengan Brendan Gan (Selangor), Leandro Dos Santos (Perak), Lee Tuck (TFC) dan Nor Azam Azih (Pahang) juga menjadi pesaing bagi merebut anugerah kategori itu.
Sebagai rekod, Safawi yang ketika ini berkelana di Portugal untuk mewakili kelab Portimonense secara pinjaman telah berjaya meraih anugerah utama, Pemain Paling Bernilai (MVP) pada ABK edisi 2018 dan 2019.
Empat lagi kategori yang dipertandingkan adalah Penyerang Terbaik, Pertahanan Terbaik, Penjaga Gol Terbaik dan Jurulatih Terbaik.
ABK20 Virtual yang dijadualkan pada 30 Disember ini juga buat julung kalinya membuka undian kepada penyokong dalam pemilihan pemenang bersama-sama pengundian daripada juri profesional yang terdiri daripada pemain, jurulatih dan media.