KOTA BHARU – Seorang penjawat awam menyesal tidak sudah apabila dia mengalami kerugian sebanyak RM21,000 selepas diperdaya pakej pelaburan di Tumpat awal bulan ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, berdasarkan laporan mangsa yang dalam lingkungan berusia 40-an, dia mendapat tawaran pelaburan melalui aplikasi WhatsApp mengenai pakej pelaburan patuh syariah yang akan mendapat bayaran keuntungan atau komisen kepada pelabur setiap dua hari pada 3 Disember lalu.
“Mangsa tertarik untuk menyertai pakej pelaburan sebanyak 1,000 dolar Amerika yang dijanjikan pulangan sehingga RM12,000 sebulan.
“Lelaki itu kemudian telah membuat transaksi pemindahan wang sebanyak RM4,300 ke satu akaun bank milik perniagaan yang dipercayai mengendalikan skim pelaburan tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Ahmad Azizul, tidak lama selepas itu, mangsa telah dihubungi oleh suspek lain yang menyatakan pelaburannya sudah untung sebelum meminta dia membuat bayaran bagi mendapatkan wang keuntungan tersebut.
Katanya, dalam tempoh dua minggu, mangsa telah membuat lebih kurang sebanyak 40 transaksi pembayaran kepada enam akaun bank berbeza seperti yang diarahkan suspek.
Katanya, bagaimanapun, mangsa masih tidak menerima sebarang pulangan atau wang keuntungan pelaburan tersebut.
“Mangsa yang tidak berpuas hati dan merasa ditipu telah tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat Khamis lalu,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – K! ONLINE