PETALING JAYA – Seramai 71 individu yang sedang leka berhibur ditahan dalam satu serbuan ke atas sebuah kondominium mewah di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira pukul 3 pagi susulan maklumat dan risikan yang dilakukan.
“Mereka yang ditahan adalah tiga lelaki tempatan, seorang lelaki warga India, 41 lelaki Indonesia serta 26 wanita warga Indonesia dan saringan air kencing yang dilakukan mendapati 23 daripada mereka positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, ganja juga ketamin.
“Kesemua yang ditahan berusia 18 hingga 30 tahun serta merupakan pekerja sebuah kilang elektronik di Lembah Klang dan siasatan mendapati kesemua mereka pergi ke kondominium tersebut untuk menghadiri parti liar yang dianjurkan di sana,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad Zainal, perintah reman akan dipohon hari ini di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Sekyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155] dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.8)(Pindaan)(No.4) 2020.
“Pihak polis memohon kerjasama masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat berkenaan aktiviti parti liar di kawasan sekitar daerah Dang Wangi.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai bolis yang berhampiran,” ujar beliau.