KUALA TERENGGANU – Situasi banjir di Terengganu tidak banyak berubah dengan 7,780 mangsa daripada 1,822 keluarga masih ditempatkan di 53 pusat pemindahan sementara (PPS).
Banjir gelombang keempat yang bermula Khamis lalu masih menjejaskan empat daerah di negeri ini iaitu Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Setiu.
Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, Kemaman kekal daerah paling terjejas dengan 6,865 mangsa daripada 1,570 keluarga masih berada di 31 PPS.
“Seramai 807 mangsa daripada 226 keluarga masih ditempatkan di 18 PPS di Dungun.
“Sebanyak tiga PPS masih dibuka di Hulu Terengganu dengan menempatkan 97 mangsa daripada 23 keluarga,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Che Adam berkata, seramai 11 mangsa daripada tiga keluarga kekal berada di PPS Balai Raya Lama Bukit Nanas, Setiu.
Dalam perkembangan sama, beliau menjangkakan banjir gelombang keempat yang melanda di Terengganu sejak lima hari lalu akan surut beransur-ansur mulai hari ini.
“Hujan di kebanyakan tempat di negeri ini sudah berhenti selain lembangan sungai juga semakin menunjukkan trend penurunan.
“Jika senario semakin baik, sebahagian penduduk sudah mula pulang ke rumah masing-masing mulai pukul 12 tengah hari ini,” katanya. – K! ONLINE