PITAS – Seorang lelaki seperti hilang akal apabila tergamak menetak bakal ibu mertuanya menggunakan sebilah parang hanya kerana tidak berpuas hati dengan tindakan anak mangsa yang juga kekasihnya kerana mahu memutuskan pertunangan mereka dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Kuyuh di sini kelmarin.
Kejadian menyayat hati kira-kira pukul 11.15 malam itu mengakibatkan Habibah Abungon, 68, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.
Suspek berusia 29 tahun yang juga seorang penganggur itu turut menyerang tunangnya serta tiga ahli keluarga lain yang berada di rumah berkenaan menyebabkan kesemua mangsa cedera.
Suspek dan kekasihnya dipercayai telah mengikat tali pertunangan sejak tahun 2017.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd. Izaan Abdullah berkata, hasil siasatan awal mendapati, suspek telah datang ke rumah tunangnya untuk mengajak wanita berusia 30 tahun itu pulang ke kampungnya di Paitan.
Katanya, wanita itu bagaimanapun dikatakan enggan menuruti permintaan suspek, sebaliknya memaklumkan kepada lelaki itu mengenai hasrat untuk memutuskan pertunangan mereka.
“Keputusan yang dibuat wanita itu menyebabkan suspek marah sebelum bertindak agresif dan mengamuk menggunakan sebilah parang,” katanya di sini semalam.
Jelasnya, mangsa kemudian menyerang tunangnya sendiri selain ibu dan bapa wanita itu serta dua beradik lain.
“Tindakan suspek menyebabkan seorang wanita yang juga ibu tunangnya maut akibat kecederaan parah pada kepala.
“Mangsa lain yang cedera berusia antara 24 hingga 65 tahun,” jelasnya.
Mohd. Izaan berkata, pihaknya yang dimaklumkan mengenai kejadian itu kemudian menemui satu mayat wanita dalam keadaan berlumuran darah di dapur.
Tambahnya, mangsa yang cedera pula telah dihantar ke Hospital Pitas untuk rawatan lanjut.
“Kita masih mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.