PUTRAJAYA – Kes baharu dilaporkan hari ini melonjak kepada 2,018 kes menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 95,327 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak tujuh kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala selebihnya sebanyak 2,011 kes adalah penularan tempatan.
“Dalam masa sama, sebanyak 1,084 kes sembuh dicatatkan dan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 78,393 kes.
“Terdapat satu kematian dilaporkan membabitkan seorang lelaki berusia 50 tahun di Hospital Tuaran, Sabah menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 sebanyak 438 kes,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Ujarnya, sebanyak 109 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi manakala, 55 kes memerlukan bantuan pernafasan. -K! ONLINE