BARCELONA – Kapten pasukan Barcelona, Lionel Messi berjaya meledak gol ke-643 bersama The Catalan dalam aksi La Liga awal pagi semalam sekali gus menyamai rekod jaringan tertinggi dalam satu kelab oleh pemain legenda Brazil, Pele yang melakukan ketika mewakili Santos.
Pada perlawanan tersebut, jaringan yang dilakukan oleh Messi pada babak pertama masih belum mampu membantu skuad kendalian Ronald Koeman meraih tiga mata penuh selepas terpaksa akur dengan keputusan seri 2-2 dengan Valencia.
Sebagai rekod, Messi telah menjaringkan gol pertama buat Barcelona pada musim 2005 dan hanya memerlukan 15 tahun untuk mencapai rekod tersebut.
Sementara itu, Pele pula menjaringkan 643 gol dalam tempoh 18 tahun ketika mewakili Santos bermula musim 1956.
Mengulas mengenai prestasi Messi, Koeman percaya apa yang dilakukan oleh pemain antarabangsa Argentina sepanjang kariernya sangat luar biasa dan mahu momentum itu diteruskan dalam usaha membantu pasukan kembali berada di landasan kemenangan.
“Untuk perlawanan kali ini, kami gagal meraih keputusan seperti yang diharapkan tetapi impak yang diberikan Messi sangat besar dan kami mengucapkan tahniah kepadanya kerana berjaya menyamai rekod Pele kerana ia bukan suatu yang mudah untuk dilakukan,” katanya.
Sementara itu, Pele turut tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada Messi dengan menyatakan pemain bola sepak seperti mereka berdua sukar untuk dicari ganti.
“Ini adalah detik bersejarah buat Messi dan saya tumpang berbangga. Hanya kita sahaja yang tahu perasaan apabila berjaya menyarung jersi kelab kesayangan untuk tempoh yang lama,” katanya. – AGENSI