PETALING JAYA – “Dan bila sebut bab jodoh saya tidaklah sebangsat itu dan seperti apa yang anda sangkakan. Segalanya saya serah kepada Allah.”
Demikian antara luahan pelawak, Zizan Razak atau nama lengkapnya, Mohd. Razizan Abdul Razak, 36, apabila ramai dalam kalangan peminat seperti mempersendakan urusan jodohnya yang masih belum kunjung tiba.
Isu jodoh Zizan kembali diperkatakan berikutan kejutan pelakon Kamal Adli membuat kejutan melamar Uqasha Senrose semasa siaran langsung Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME 2020).
Umum mengetahui, Kamal dan Zizan sebelum ini pernah menjalin hubungan cinta dengan wanita yang sama iaitu Emma Maembong namun benar, jodoh itu rahsia yang hanya Allah sahaja yang tahu.
Emma Maembong berkahwin dengan seorang juruterbang, Muhammad Shazli Azhar, 32, awal tahun ini dan sudah pun bergelar seorang ibu.
Sehubungan itu, Zizan yang diberi tanggungjawab sebagai hos acara AME2020 percaya urusan jodoh, ajal dan maut bukan terletak di tangan manusia sebaliknya urusan Allah SWT.
“Melihat apa yang berlaku malam ini (tadi) menjadi perbualan dalam media sosial tentang jodoh saya selepas Kamal Adli melamar Uqasha Senrose di pentas AME2020.
“Maaf saya katakan apa yang berlaku malam pun bukan rancangan saya dan saya tidak tahu. Saya cuma memberi respons yang ‘sporting’ untuk memberikan program nampak ‘best’,” tulis anak kelahiran Dungun, Terengganu itu melalui satu hantaran dalam Instagram.
Terdahulu, selain Emma, Zizan pernah dikhabarkan menjalin hubungan cinta dengan beberapa wanita lain seperti Juliana Evans dan Mira Filzah.
Ketiga-tiga wanita tersebut sudah bergelar isteri dan hal itu membuatkan peminat melabel Zizan seorang lelaki yang tidak bernasib baik dalam percintaan. – K! ONLINE