KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 8 Jun tahun depan bagi mendengar perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu.
Hakim Azura Alwi membenarkan keempat-empat kes iaitu tiga tuduhan yang dikemukakan di Mahkamah Sesyen Butterworth dan satu tuduhan yang didaftarkan di sini, dibicarakan secara bersama.
Hari ini, Guan Eng, 60, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan pindaan menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta.
Suapan tersebut sebagai tindakan membantu syarikat milik Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd., Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli, dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.3 billion.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar.
Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Guan Eng turut mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan pindaan iaitu secara rasuah meminta bagi pihaknya sebagai Ketua Menteri suatu suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperolehi kelak daripada Zarul Ahmad.
Suapan itu sebagai upah bagi melakukan suatu perkara yang dicadangkan, iaitu membantu syarikat Zarul Ahmad dilantik
melaksanakan projek berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama. – K! ONLINE