SEBERANG PERAI – Dua beranak antara 25 lelaki disyaki penagih dadah ditahan polis dalam serbuan di sarang penagihan dadah di kawasan sawah padi di Permatang Tok Jaya, Pekan Darat, Butterworth di sini hari ini.
Dalam operasi kira-kira enam jam berakhir pukul 3 petang itu, mereka yang ditahan adalah berusia di antara 17 hingga 70 tahun.
Difahamkan ada di antara mereka yang bertempiaran lari di atas batas sawah padi ketika cuba meloloskan diri, namun berjaya dicekup pihak berkuasa.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, polis turut menahan dua beranak lelaki yang menagih dadah bersama-sama di kawasan sawah padi.
“Bapa yang merupakan pesawah berusia 47 tahun dan anak lelaki berusia 17 tahun ditahan kerana sama-sama terlibat kegiatan itu.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis heroin,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Noorzainy, pihaknya turut menahan 23 yang lain selepas didapati terlibat penyalahgunaan dadah di tempat sama.
“Melalui serbuan itu, kita berjaya melumpuhkan aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan itu yang dikatakan tempat penjualan dadah secara terang-terangan.
“Kita turut merampas dadah jenis heroin seberat 3.16 gram bernilai RM158,” katanya lagi.
Menurut Noorzainy, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983. – K! ONLINE