LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak merampas 29 set bubu naga di kedudukan 5.4 batu nautika barat daya Pulau Pasir Hitam, dekat Trong, petang kelmarin.
Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, terdahulu, bot Petir 80 yang sedang menjalankan tugas rondaan dan penguatkuasaan kira-kira pukul 5.30 petang, mengesan sesuatu mencurigakan pada permukaan air dan mendapati penanda bubu naga yang dipasang secara haram.
“Anggota Petir 80 bertindak merampas 29 set bubu naga itu di atas kesalahan melanggar syarat penggunaan pelaratan menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Shahrizan, peralatan bubu naga tersebut telah dibawa ke Pusat Tahanan Vessel (PTV) Kampung Bharu Lumut, bagi siasatan lanjut.
Shahrizan mengingatkan komuniti maritim, khususnya nelayan pesisir pantai, bahawa penggunaan peralataan bubu naga tersebut adalah satu kesalahan dan berpotensi memusnahkan biodiversiti marin di perairan Perak.
Pada masa sama, beliau meminta komuniti maritim untuk bekerjasama menyalurkan maklumat berkaitan pencerobohan nelayan-nelayan asing, pendatang asing tanpa izin serta lain-lain kegiatan jenayah yang dikesan berlaku dalam perairan Perak kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-683 8737 atau National Task Force di talian 011-6251 1123.
“Komuniti maritim negeri Perak juga dinasihatkan agar memastikan bot sentiasa dalam keadaan baik dan selamat sebelum memulakan sesuatu aktiviti di laut dan jika mengalami kecemasan segera hubungi MRSC Langkawi 04-9660537 atau MERS 999,” katanya. – K! ONLINE