MUAR – Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila bayi mereka berusia setahun terperangkap lebih 30 minit di dalam kereta dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Junid di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 9.45 pagi itu, Muhammad Shakeel Nadhif berjaya dikeluarkan sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Noralfatah Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum 14 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurut beliau, pihaknya difahamkan kejadian itu berlaku ketika bapa saudara mangsa sedang membuat persiapan untuk menghantar bayi itu ke taska menggunakan kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V.
“Ketika meletakkan bayi itu dalam kenderaan dengan keadaan enjin yang tidak dihidupkan, bapa saudaranya telah meninggalkan mangsa sebentar untuk mengambil beberapa barangan lain di luar.
“Bagaimanapun ketika dia datang kembali untuk membuka pintu, didapati pintu terkunci dari dalam. Bapa saudaranya percaya bahawa mangsa secara tidak sengaja telah tertekan butang kunci automatik ketika berada seorang diri dalam kereta,” katanya ketika dihubungi.
Difahamkan ketika kejadian, ibu dan bapa bayi berkenaan telah keluar namun bergegas pulang sebaik dimaklumkan oleh adiknya.
Noralfatah berkata, bomba menggunakan peralatan khas bagi membuka pintu kereta itu.
“Berikutan tiada kunci kereta tambahan, mereka telah berusaha sendiri untuk membuka pintu kenderaan itu namun gagal sebelum terpaksa menghubungi pihak bomba.
“Bayi itu dilaporkan selamat, namun keadaannya sedikit terkejut dan ditenangkan oleh keluarganya. Operasi ditamatkan pada pukul 10.14 pagi,” katanya.-K! ONLINE.