fbpx

11 tahun baru masuk AJL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZIZI KIRANA

NAMA penyanyi genit, Zizi Kirana kini menjadi sebutan dalam kalangan peminat. Bukan sahaja impak dendangan lagunya yang mudah melekat dalam kepala, tetapi ada sahaja sensasi yang melingkari perjalanan wanita berusia 35 tahun itu.

Biarpun ada sahaja mulut nakal yang cuba melemparkan kata tidak enak kepadanya, anak kelahiran Sabah itu berhati kental.

Adakala, kesabarannya teruji dek kelompk pembenci yang hanya mencari kesalahan. Namun, pelantun lagu Eh itu tidak mudah mengalah dan terus berkarya.
Dia percaya, setiap hari adalah pencorak esok yang lebih baik.

ZIZI tidak pernah meletakkan sebarang harapan mahupun sasaran setiap tahun baharu bakal menjengah.

Impak Covid-19

Kita hanya merancang tetapi Tuhan yang menentukan. Justeru, Zizi hanya melepaskan ketawa kecil saat ditanyakan tentang apakah perancangan tahun depan sementelah 2020 sudah hampir melabuhkan tirai.

Akuinya, dia tidak pernah meletakkan sebarang harapan mahupun sasaran setiap kali tibanya tahun baharu.

Baginya apa yang terbaik adalah memperbaiki diri agar tiada khilaf sama terulang kembali, sekali gus berubah ke arah kebaikan.

“Sejujurnya saya tidak meletakkan harapan mahupun azam setiap tahun baharu kerana menyerahkan segalanya kepada takdir.

“Saya mendoakan bukan hanya untuk diri sendiri bahkan semua orang agar diberi peluang untuk menjadi insan yang lebih baik,” katanya seraya melepaskan ketawa kecil.

Helaan nafasnya agak dalam dan seketika kemudian, dia memuntahkan semua perkara yang tersimpan dalam hati tentang rangkuman 2020 dalam kelana seninya.

Perkara pertama yang keluar dari mulut wanita itu menyentuh tentang petaka Covid-19 yang menghantui masyarakat di seluruh dunia.

Pada masa sama virus tersebut mengubah norma kehidupan warga tempatan dalam menjalani rutin seharian.

“Apa yang berlaku ini membuatkan saya belajar untuk banyak bersabar dan lebih menghargai kehidupan.

“Keadaan yang mencabar ini juga membuatkan kita belajar untuk berjimat cermat dalam mengawal perbelanjaan.

“Kita juga lebih menghargai insan tersayang terutama ahli keluarga dan kenalan terdekat. Selain itu, bersyukur dan berlapang dada dalam menerima sebarang kemungkinan dalam kehidupan. Hal ini turut membuatkan saya berusaha untuk mempelajari dan memperbaiki diri dari semasa ke semasa,” ujarnya.

MEMILIH untuk bersikap selamba, Zizi tidak meletakkan sebarang perancangan rapi terhadap kerjaya seninya bagi tahun hadapan. Sebaliknya dia lebih kepada mengikut alur takdir dan kesesuaian masa serta keadaan.

AJL sulung

Turut meninggalkan bekas mendalam buat si pemilik mata bundar itu, tahun 2020 ini juga mencatat kenangan terindah apabila buat pertama kalinya sejak berkecimpung dalam industri hiburan 11 tahun lalu, dia melepasi tembok dan lolos ke Anugerah Juara Lagu (AJL).

Segala susah payah yang dilalui selama ini terasa berbaloi apabila lagu Eh berjaya bersaing dengan 11 lagi lagu lain di pentas AJL35.

Biarpun sekadar tercalon sebagai finalis, catatan tersebut sekali gus mampu memacu 2021 yang lebih dinamik, khususnya buat Eh untuk sama-sama bersainga mengejar trofil AJL.

“Apabila lagu Eh diumumkan ke AJL, saya tergamam dan terkejut. Saya amat bersyukur apabila usaha keras bersama pasukan berbaloi.

“Pada malam persembahan saya tidak memikirkan atau meletakkan harapan tinggi. Sebaliknya hanya fikir untuk memberi persembahan terbaik dan bergembira di atas pentas.

“Kejayaan ini sesuatu yang amat bermakna dan mendalam buat saya. Lagu Eh disenaraikan sebagai lagu ke-11 layak ke AJL35, pada masa sama mewakili 11 tahun saya bergelar penyanyi. Bahkan, angka 35 (AJL35) pula mewakili usia saya yang ke-35 tahun ini,” tuturnya gembira sambil berjanji untuk memberikan persembahan terbaik pada hari perhitungan AJL35 yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 7 Februari depan.

PENYERTAAN lagu Eh dalam AJL35 menjadi kenangan terindah buat Zizi sepanjang tahun 2020 apabila pertama kali berjaya menempatkan diri dalam acara berprestij tersebut.

Qasidah

Kata Zizi, memandangkan pernah perancangan yang dilakukan bersama pasukannya terganggu akibat hal tidak dapat dielakkan, dia kini memilih untuk tidak terlalu mencatur perancangan.

Sebaliknya, berusaha memberikan yang terbaik pada setiap masa.

Begitulah dirinya yang memilih untuk bersahaja tanpa perlu membebankan diri dengan memikir banyak kemungkinan.

Personaliti sebegitulah yang membawa kerjasama projek kerjasama dengan kumpulan nasyid UNIC menerusi lagu selawat berjudul Qamarun atau Purnama.

Secara luaran, kerjasama dengan UNIC pasti menimbulkan skeptikal ramai.Personaliti dan imej seksinya di mata umum, pantas membuatkan khalayak terfikir, mampukah Zizi melantun selawat dan qasidah dengan bermakna.

Dalam nada perlahan, Zizi mengetepikan semua sentimen negatif. Luahnya, dia bersyukur apabila kerjasamanya dengan UNIC memberikan impak positif biarpun terdapat banyak kecaman yang harus ditelan.

Tidak terlalu menghiraukan kritikan, Zizi lebih teruja berbicara tentang taruhan pertama dengan kumpulan yang disertai Ustaz Fakhrul dan Bazli itu.

Kata Zizi, idea penyatuan tersebut tercetus saat dia asyik menonton sebuah video yang mengalun selawat nabi.

“Selepas melihat UNIC menyanyikan lagu Eh dalam versi nasyid, saya telah merancang untuk bergandingan dengan mereka pada pertengahan tahun ini.

“Tetapi disebabkan beberapa kekangan, hasrat itu tertunda sehinggalah pada sambutan Maulidul Rasul Oktober lalu.

“Saya juga mesej Ustaz Fakhrul dan bertanyakan kemusykilan tentang qasidah kepadanya. Biarpun sudah pukul 12 tengah malam tetapi dia tetap membalas pertanyaan saya.

“Kemudian saya bertanya, sama ada dia ingin mendengar beberapa koleksi lagu tanpa nyanyian (minus one) untuk selawat nabi dan qasidah yang saya hasilkan.

“Tanpa berlengah dia terus bersetuju.Syukur segalanya dipermudahkan dan kini telah mendapat lebih satu juta tontonan selepas dimuat naik di YouTube,” jelas bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim tujuh itu panjang lebar.

ZIZI KIRANA tampil dengan genre muzik berbeza menerusi single baharunya bertajuk Tentu yang diilhamkan daripada impak pandemik Covid-19 kepada masyarakat dunia.

Tentu

Selain terlibat dalam kerjasama dengan kumpulan UNIC, Zizi turut mencuri tumpuan khalayak menerusi rakaman semula lagu 4 Dara yang menampilkan paduan bersama Faizal Tahir dan Elly Mazlein.

Umum pastinya sudah mengetahui single baharu bertajuk 4 Dara 2020 menjadi sensasi selepas video nyanyian pelakon Elly Mazlein atau mesra disapa Kak Lina tular.

Setelah mendapat reaksi positif daripada khalayak, kata Zizi, idea ‘gila’ Faizal itu berlaku secara tiba-tiba tanpa disangka.

Dia juga berterima kasih kepada Faizal kerana menjadikan dirinya sebahagian daripada lagu tersebut dan mencipta sejarah tersendiri dalam industri muzik tanah air.

Tanpa sebarang perancangan rapi, lagu itu juga berjaya meraih tontonan sebanyak satu juta, sehari selepas dimuat naik dalam YouTube.

“Faizal sememangnya seorang yang genius dalam pembikinan muzik. Sejujurnya, walaupun ini hanya satu projek gila-gila tetapi banyak perkara yang saya pelajari.

“Dalam penghasilan sesuatu karya tidak perlu meletakkan harapan terlalu tinggi tetapi bersedia dengan sebarang kemungkinan,” tutur Zizi atau nama lengkapnya Nurfazelah Mad Tahil.

Seiring dengan kerjaya muzik, Zizi turut hadir dengan single baharu bertajuk Tentu yang dikerjakan bersama Somean, Gnello dan AJ.

Lagu tersebut sebenarnya diinspirasikan daripada impak Covid-19 terhadap semua orang.

Akibat Covid-19, ada golongan terjejas punca pendapatan, diberhentikan kerja atau diberi cuti tanpa gaji.

Keadaan semasa telah membuatkan mereka mengharungi pelbagai cabaran untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Menerusi lagu Tentu, Zizi mencabar diri membawakan genre muzik berbeza berbanding yang pernah didendangkan sebelum ini.

Rentaknya sedikit perlahan dan secara tidak langsung menyerlahkan emosi lagu tersebut, selain diselitkan dengan elemen rap yang pastinya menjadi ‘makanan’ buat Zizi.

“Lagu ini agak berat untuk dinyanyikan kerana saya tidak pernah membawakan genre sebegini.

“Permainan emosi amat penting dalam penyampaian. Pastinya saya mengharapkan penerimaan positif daripada pendengar,” luahnya positif.

Telah dilancarkan secara eksklusif menerusi JOOX Malaysia, video muzik lagu Tentu juga telah selesai menjalani proses penggambaran dan bakal ditayangkan dalam tempoh masa terdekat.

MENERUSI Tentu, Zizi mencabar diri membawakan genre muzik berbeza berbanding yang pernah didendangkan sebelum ini.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI