KETIKA kali muncul dalam televisyen menerusi telefilem Sutun 2, arahan sutradara Shahrulezad Mohameddin sekitar 10 tahun lalu, susuk wanita itu bukan siapa-siapa.
Memegang watak sebagai Yam, seorang gadis kilang berbadan ‘comel’ yang jatuh cinta dengan Khalid, seorang pemuda lembut yang cuba kembali ke pangkal jalan, peranan tersebut sekali gus menjadi titik introduksi, memperkenalkan figura itu ke gelanggang industri hiburan tempatan.
“Khalid sebenarnya pensyarah saya di Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA).
“Dialah yang tawarkan saya untuk berlakon dalam Sutun, sekali gus merupakan drama pertama yang membuka ruang kepada saya menjadi seorang pelakon,” kata pemilik nama pentas, Sherry Alhadad itu.
Ibarat langit dengan bumi. Sherry dahulunya comot, malu-malu tetapi berbakat, kini memiliki nama yang cukup besar sebagai selebriti terutamanya dalam bidang pengacaraan.
Paras rupa
Biarpun populariti yang diraih tidak datang sekelip mata, namun pendakian pemilik nama sebenar Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad itu akhirnya membuahkan hasil.
Anugerah Bintang Popular ke-33 (ABP33) pada November lalu telah menyaksikan kejayaan Sherry menggenggam dua trofi kemenangan iaitu Pengacara TV Popular dan Artis Komedi Popular.
Tanpa berselindung, Sherry memberitahu, selepas turun sahaja daripada pentas pada malam tersebut, dia menangis seperti kanak-kanak kerana berasa terharu.
“Sebab saya tak sangka. Bayangkan nama-nama besar yang bertanding dalam setiap kategori itu ada 20 orang.
“Bila Sherry menang disebabkan undian penonton, Sherry rasa dihargai peminat,” ujar wanita berusia 36 tahun itu.
Menurut Sherry, dia sedar keberadaannya dalam industri bukan berbekalkan paras rupa yang menawan. Mahu tidak mahu, terdapat jurang di situ untuk dia diterima baik oleh masyarakat.
Dakwanya lagi, semasa awal-awal membabitkan diri dalam dunia hiburan, Sherry tidak terlepas daripada mendapat layanan ‘tidak indah’ oleh orang disekelilingnya.
“Sebab itu bila saya berhasrat untuk terjun dalam bidang seni, emak merupakan individu yang paling risau tentang perkara itu.
“Emak tahu dan sedar, menjadi artis memerlukan aset iaitu rupa paras dan bentuk tubuh yang cantik.
“Saya sendiri pun lahir bukan dalam keluarga yang senang. Jadi keluarga sebenarnya mengharapkan Sherry berada dalam bidang yang boleh memberi jaminan pada masa hadapan,” katanya.
Demi minat dan kesungguhan, Sherry akhirnya membuktikan bakat mengatasi segala-galanya. Mungkin hari ini Sherry ibarat burung yang sedang terbang di langit tinggi.
Sombong
Gusar andai suatu hari nanti dia tiba-tiba lupa diri, menjadi sombong atau berhidung tinggi dengan apa yang dikecapi hari ini, Sherry ada cara menangkis lintasan tersebut: “Tampar muka saya kalau saya mula lupa diri.”
Dia turut mengingatkan kawan-kawan rapatnya supaya memberikan teguran jika menyedari perubahan atau tidak lagi Sherry yang dahulu.
Sherry juga sering berpesan pada diri agar mengikut resmi padi, ‘semakin berisi semakin menunduk’.
“Minta dijauhkan perkara sebegitu. Saya bersyukur sebab saya sudah diajar dan diberi didikan yang cukup semasa berada di ASWARA.
“Semasa belajar teater, saya diajar bahawa kita hidup bukan secara individual, tetapi berkumpulan,” tambah pengacara Muzik-Muzik itu.
Sherry yang baru sahaja selesai menjalani kuarantin kendiri pada 3 Disember turut melahirkan rasa simpati dan sedih terhadap rakan pengacaranya, Alif Satar yang disahkan positif Covid-19 pada 22 November lalu.
“Alhamdulllah Alif pun sudah bebas Covid-19 pada 4 Disember lalu dan telah pun kembali ke pangkuan keluarganya selepas 12 hari dirawat di sebuah pusat perubatan di Melaka.
“Sebenarnya saya sedar ramai yang tidak setuju acara hiburan diadakan pada waktu ini. Tetapi saya cuma minta masyarakat faham tentang suasana industri.
“Kami cari makan dalam bidang ini dan tidak adil jika dihakimi masyarakat berdasarkan karier sebagai anak seni,” jelasnya.
Menjadi seorang Sherry Alhadad pada hari ini, dia juga berharap dapat memperbaiki lagi mutu persembahan supaya dapat diterima semua peminat.
“Maknanya saya kena buat lebih bagus daripada apa yang saya buat sekarang,” katanya menutup kata.