Oleh MOHD FARIQ
PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin mendedahkan, beliau sentiasa berusaha keras untuk memperjuangkan bola sepak negara dalam tempoh pandemik Covid-19.
Hamidin yang juga Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagaimanapun mengakui, ada segelintir pihak tidak berpuas hati dengan badan induk persatuan bola sepak negara yang dilihat tidak agresif memperjuangkan bola sepak tempatan.
Kemarahan itu timbul dipercayai selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak membenarkan Piala Malaysia berlangsung pada tahun ini sekali gus memaksa MFL membatalkan kejohanan tertua Asia Tenggara tersebut.
Namun, Hamidin menegaskan, beliau sentiasa bersuara kepada pihak tertentu dalam misi memperjuangkan bola sepak negara di belakang tabir.
“Ya saya hanya manusia biasa yang tidak terlepas daripada kesilapan dalam pandemik Covid-19 dan faham ada segelintir peminat tidak berpuas hati dengan saya, FAM atau MFL.
“Ada yang berkata saya langsung tidak bersuara dan kenapa diam sahaja (selepas MKN tidak membenarkan Piala Malaysia). Malah ada yang mempertikaikan kenapa saya baru bagi kenyataan (memohon pihak kerajaan membenarkan aktiviti bola sepak) baru-baru ini.
“Saya ingin berterima kasih kepada semua pihak yang telah membantu. Saya naik turun bertemu penaja untuk menyakinkan mereka supaya terus menaja dan membantu bola sepak Malaysia.
“Mungkin saya bukan ‘hero’ tetapi saya tidak pernah melepaskan tangan dan tanggungjawab saya sebagai Presiden FAM dan MFL kerana jiwa raga saya adalah bola sepak,” katanya.
Mengenai khabar angin bahawa Berjaya dan Maybank akan menjadi penaja baharu untuk musim depan, Hamidin berkata, buat ketika ini, tidak ada apa apa kepastian selagi tiada tandantangan kontrak daripada pihak terbabit.
Bagaimanapun, Hamidin sedar perjuangan ini perlu mendapat pertolongan daripada semua pihak dalam memastikan bola sepak pada tahun 2021 menjadi lebih positif.
“Saya tidak akan berputus asa dan akan memastikan bola sepak Malaysia akan terus subur hidup serta relevan.
“Saya berharap tahun 2021 akan berubah landskap menjadi lebih baik kepada industri bola sepak negara,” ujarnya.