RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 membantu urusan akad nikah sepasang pengantin dengan membawa mereka menggunakan kenderaan pacuan empat roda selepas jalan ke Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra di sini ditenggelami banjir sejak semalam.
Noraishah Ghazali, 26, dan pasangan Wan Mohammad Ridhwan Wan Yusoff, 20, bersama rombongan terpaksa diangkut menggunakan pacuan empat roda selepas laluan itu ditenggelami banjir sedalam 0.3 meter.
Noraishah berkata, dia bersama bakal suami dan rombongan pengantin sudah bersiap-sedia untuk mengharungi banjir ke masjid bagi memastikan majlis tersebut berjalan seperti yang telah dirancang.
Menurutnya, bagaimanapun, anggota PGA telah menawarkan bantuan untuk membawa mereka ke masjid.
“Tanpa berfikir panjang saya dan keluarga terus menerima pelawaan dari anggota PGA.
“Alhamdulillah, saya dan pasangan (Wan Mohammad Ridhwan) sah menjadi suami isteri pada pukul 12 tengah hari,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Noraisah memberitahu, dia, suami dan keluarga mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada PGA atas bantuan tersebut.
Katanya, dia menyifatkan bantuan itu merupakan rezeki terpijak sewaktu hari bahagia mereka.
“Saya bersama suami dan keluarga sememangnya sudah bersedia untuk meredah air banjir, namun tidak menyangka banjir datang lebih awal pada tahun ini.
“Biasanya, banjir akan datang selepas 24 Disember setiap tahun,” ujarnya yang berasal dari Kampung Kubang Rambutan di sini.
Katanya, disebabkan banjir, dia dan suami mengambil keputusan untuk menangguhkan seketika majlis kenduri selepas rumahnya ditenggelami banjir lebih 1.3 meter.
Tambahnya, dia dan suami menumpang di rumah kakaknya dekat Kampung Gual Tinggi di sini buat sementara waktu. – K! ONLINE