PUTRAJAYA – Program Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) telah berjaya membantu usahawan kraf apabila mengumpul nilai jualan sebanyak RM10.4 juta sejak April hingga November tahun ini.
Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Ainu Sham Ramli berkata, pihaknya telah mengoptimumkan penggunaan platform digital dalam mempromosi dan memasarkan produk kraf melalui E-Kraf Bazar dan MYCRAFTSHOPPE.
Katanya, platform pemasaran di media sosial dan secara dalam talian itu berjaya membantu usahawan kraf kekal aktif dalam menghasil serta memasarkan produk kraf hingga kini.
“Sejak diperkenalkan 8 April hingga 30 November lalu, E-Kraf Bazar disertai seramai 13,878 ahli dan daripada jumlah ini, seramai 1,302 orang merupakan usahawan kraf dengan janaan nilai jualan sebanyak RM10.4 juta.
“MYCRAFTSHOPPE pula telah menghimpunkan seramai 300 pemain industri yang menawarkan produk kraf melebihi 2,900 unit,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup Program Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) Kraf Batik dan Jahitan di sini hari ini.
Majlis berkenaan turut disempurnakan Naib Presiden Perkhidmatan Bandar, Perbadanan Putrajaya (PPj), Kamaruddin Domat.
Dalam pada itu, Kamaruddin memaklumkan PPj turut menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan bagi meningkat ekonomi peserta PPKK di pusat pentadbiraan kerajaan itu.
Katanya, program diadakan semenjak 2019 itu telah melahirkan ramai peserta terdiri daripada bidang kulinari, bakeri, jahitan dan produk kraf batik. – K! ONLINE