fbpx

Padah maki polis, lelaki ditahan ketika buat laporan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Padzli

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki bertindak mengeluarkan kata-kata kesat kepada polis selepas dia tidak berpuas hati disaman dalam satu operasi di Jalan Mutiara Emas Putih, di sini Khamis lalu.

Lelaki berusia 36 tahun itu bagaimanapun diberkas ketika dia sedang membuat laporan polis di Balai Polis Setia Indah, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, semasa operasi dijalankan, sebuah kereta jenis Proton Wira telah ditahan kerana mendapati nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi iaitu nombor pendaftaran tidak timbul serta berkilat dan ubah suai ekzos.

Tambahnya, polis trafik itu telah mengeluarkan dua saman atas kesalahan tersebut iaitu ubah suai ekzos dan nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi.

“Pemilik kereta itu tidak berpuas hati kerana disaman oleh polis trafik lalu merakam video anggota itu yang sedang menjalankan tugas ketika itu. Semasa hendak beredar, pemandu itu sempat mengeluarkan kata-kata kesat dengan nada yang kuat.

“Pada hari yang sama, pegawai polis BSPT IPD Johor Bahru Selatan telah membuat laporan polis terhadap pemilik kereta itu kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap polis trafik yang menjalankan operasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Padzli berkata, keesokan harinya, pemilik kereta Proton Wira itu hadir ke Balai Polis Setia Indah untuk membuat laporan namun dia ditahan bersabit laporan yang dibuat ke atasnya.

Katanya, semakan rekod jenayah lampau mendapati, suspek mempunyal rekod jenayah melibatkan kes dadah.

“Suspek juga telah dibuat saringan air kencing dan keputusannya adalah negatif. Dia ditahan reman selama tiga hari bermula tarikh tangkapan sehingga esok.

Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI