fbpx

Operasi mencari lelaki terjatuh dari sungai giat dijalankan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah seekor anjing pengesan Unit K9 digunakan dalam operasi mencari mangsa terjatuh dari jambatan di Batu Gajah semalam.

BATU GAJAH – Operasi mencari dan menyelamat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas dilaporkan terjatuh dari Jambatan di Sungai Kinta di sini semalam, diperluaskan hingga tujuh kilometer.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah, Norshah Shahril berkata, radius pencarian pada operasi hari kedua itu dipertingkatkan dari lokasi kali terakhir mangsa dilihat.

Katanya, khidmat dua ekor anjing pengesan (K9) dari BBP Kuala Lumpur turut digunakan bagi membantu mengesan mangsa.

“Dalam operasi bermula semalam, kita menggunakan tiga buah bot dan melakukan kaedah pencarian di permukaaan air di kiri dan kanan tebing sungai.

“Skop pencarian diperluaskan dalam jarak tujuh kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat selain turut dibantu dua ekor anjing dari Unit K9,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, Unit K9 telah mengenal pasti ‘spot’ iaitu satu jambatan besi kecil dipenuhi sampah sarap yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dilihat terjatuh.

Katanya, mangsa yang dihanyutkan arus mungkin terperangkap di kawasan tersebut dan penduduk setempat yang mempunyai ‘excavator’ telah diminta membantu untuk mencuci sampah serta kayu-kayu tersangkut di jambatan itu.

“Usaha mencari mangsa yang memasuki hari kedua masih diteruskan melibatkan 27 anggota bomba termasuk dari BBP Pasir Puteh dan Kampar, Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan K9.

“Operasi ini turut dibantu tujuh anggota polis, lima anggota Rela dan 10 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.29 petang semalam, seorang lelaki berusia 22 tahun dihanyutkan arus deras selepas terjatuh ke dalam sungai di jambatan yang menghubungkan Kampar dan Tanjung Tualang.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI