LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho mendedahkan pemain sayap, Gareth Bale berpeluang diturunkan pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Leicester City di Stadium Tottenham Hotspur malam ini.
Pada aksi menentang Crystal Palace dan Liverpool sebelum ini, pemain antarabangsa Wales itu tidak berada dalam skuad kerana berdepan masalah kesihatan.
Bagaimanapun, bekas pemain Real Madrid itu dijangka berada dalam skuad malam ini selepas dilaporkan sudah pulih sepenuhnya daripada masalah berkenaan.
“Dia berada dalam keadaan sihat dan cergas. Dia juga sudah mula mengikuti sesi latihan bersama pasukan, saya gembira dengan tahap kesihatannya sekarang.
“Saya akan pantau keadaannya terlebih dahulu sebelum perlawanan bertemu Leicester. Sekiranya tiada sebarang masalah, dia mungkin akan bermain,” kata Mourinho.
Ketika ditanya mengenai pertemuan dengan Leicester, beliau mengakui pengurus pasukan tersebut, Brendan Rodgers adalah kawan baiknya selain percaya The Foxes mampu memberi kejutan kepada pasukannya.
“Beliau seorang individu yang baik. Rodgers adalah jurulatih yang kreatif, jadi saya tidak terkejut pasukannya beraksi dengan sangat baik,” ujarnya.
– AGENSI