PETALING JAYA – Seorang wanita yang baharu selesai menghadiri temu duga di sebuah hospital swasta di Bangsar, Kuala Lumpur semalam, dikejutkan dengan tangisan anak sulungnya menerusi panggilan telefon memaklumkan suaminya telah meninggal dunia.
Wanita berkenaan, Nurul Ain Mohd. Razib, 31, berkata, dia menghadiri temu duga bagi jawatan jururawat di hospital berkenaan sementara suaminya, Mohd. Ashraf Rosli, 35, dan tiga anaknya berusia 10 bulan, 3 tahun dan 6 tahun menunggunya di dalam kereta.
“Selesai sesi temu duga, saya menghubungi suami sebelum dimaklumkan oleh anak sulung yang menangis bahawa arwah telah tiada. Babah dah meninggal, kata anak sulung saya.
“Terkejut dengan kata-katanya, saya kemudiannya mendapatkan bantuan pengawal keselamatan untuk mengesan di mana kereta kami, namun gagal ditemui di mana-mana kawasan parkir hospital,”katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Bercerita lanjut, kata Nurul Ain, tidak lama kemudian, pengawal keselamatan memaklumkan bahawa kereta tersebut telah ditemui orang awam di bahu jalan besar bersebelahan hospital berkenaan sebelum sebuah ambulans digerakkan memberi bantuan kecemasan.
“Saya dimaklumkan bahawa ketika ditemui, pernafasan suami sangat lemah dan dia seterusnya dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum disahkan meninggal dunia.
“Kini kami masih menunggu keputusan ujian Covid-19 sebelum jenazah arwah dibedah siasat dan seterusnya dibawa ke kampung halaman di Bercham, Perak untuk dikebumikan,” ujarnya.
Menurutnya, dia dan suami sememangnya merancang pulang ke Bercham untuk menghadiri majlis perkahwinan keluarga selepas selesai sesi temu duga, namun tidak menyangka sebaliknya berlaku.
“Sepanjang perjalanan ke hospital (untuk temu duga), kami berbual seperti biasa malah suami sempat memberikan kata-kata semangat agar lebih yakin ketika menghadapi temu duga.
“Malah, ketika berada di lobi hospital suami ada memaklumkan dia sakit di bahagian ulu hati, namun meminta saya meneruskan sesi temu duga dan tidak perlu bimbang keadaannya.
“Dua minggu lalu arwah ada mengadu mengalami sakit yang sama namun sakit tersebut berkurangan selepas mengambil ubat dibeli di farmasi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Annuar Omar ketika dihubungi memaklumkan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.