PITAS – Berang dengan tindakan mahu putus tunang, seorang lelaki menetak ibu tunangnya sampai mati dalam kejadian di Kampung Kuyuh malam tadi.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Habibah Abungon, 68 dan mati akibat kecederaan parah ekoran ditetak suspek menggunakan sebilah parang.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 malam itu, tunang serta tiga lagi ahli keluarga lain yang berada di rumah turut cedera diserang suspek sama yang berusia 29 tahun terbabit.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, siasatan awal mendapati suspek dikatakan datang ke rumah tunangnya untuk mengajak pulang ke kampung suspek di Paitan.
Bagaimanapun, difahamkan wanita berkenaan tidak menuruti permintaan suspek dan memaklumkan mahu memutuskan pertunangan.
“Ekoran kejadian itu, suspek dipercayai bertindak agresif dan mengamuk menggunakan sebilah parang. Antara yang cedera adalah tunang suspek sendiri bersama dua adik-beradik selain bapa.
“Semua mangsa yang cedera berusia 24 hingga 65 tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Izaan memaklumkan, hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati mayat mangsa yang maut terlentang di bahagian dapur dengan kesan darah di atas lantai, manakala semua mangsa cedera sudah dihantar ke Hospital Pitas untuk rawatan lanjut.
“Siasatan masih diteruskan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.-K! ONLINE