fbpx

Lelaki bawa rokok seludup dicekup dalam SJR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemeriksaan ke atas kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Alphard itu telah menemui beberapa guni mengandungi rokok dipercayai rokok seludup bernilai kira-kira RM130,000.

KAJANG – Seorang lelaki tempatan ditahan selepas pemeriksaan ke atas kereta dipandunya menemui beberapa guni mengandungi rokok dipercayai rokok seludup dalam Operasi Samseng Jalanan dan Pencegahan Jenayah di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, operasi dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang kira-kira pukul 1 pagi di Kilometer 2.7 Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) arah Kajang.

“Ketika sekatan jalan raya (SJR) sedang dijalankan, anggota bertugas terlihat sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard yang dipandu secara mencurigakan telah berhenti sebelum melalui kawasan SJR dilakukan.

“Pihak polis seterusnya menahan pemandu lelaki berusia lewat 30-an dan melakukan pemeriksaan ke atas kereta tersebut lalu menemui beberapa guni mengandungi pelbagai jenis rokok yang dipercayai rokok seludup,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Zaid, pemeriksaan lanjut yang dilakukan telah menemui sebanyak 2,240 karton rokok jenis Gudang Garam Surya, 380 karton rokok Gudang Garam Nusantara Hijau dan 80 karton rokok Gudang Garam Nusantara Merah.

“Keseluruhan rokok seludup yang dirampas dianggarkan bernilai RM130,000 dan kes telah dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang serta disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki rokok disyaki diseludup.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian serta aktiviti penyeludupan seperti ini boleh berhubung dengan mana-mana balai yang terdekat atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Sarjan Mohamad Khir Bachok di talian 014-5307540,” ujar beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI