KEMAMAN – Dua sahabat nyaris maut selepas motosikal Skuter Yamaha Ego yang dinaiki mereka dihanyutkan arus deras sewaktu meredah banjir di Jalan Kampung Ibok, Kijal berhampiran Zoo Mini Kemaman dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, kedua-dua lelaki berusia 20-an tersebut bernasib baik diselamatkan pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang kebetulan sedang melakukan rondaan.
Pegawai APM Kemaman, Mohd. Suhaimi Awang @ Muhammad berkata, sewaktu pasukan APM tiba, motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa telah dihanyut arus deras hingga memasuki sungai berhampiran.
“Seorang mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lagi tersangkut pada sebatang pokok.
“Anggota APM bertugas segera melakukan kerja-kerja penyelamatan dengan mengikat tali di badannya sebelum berenang mengharungi arus deras menuju ke mangsa,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Suhaimi berkata, kerja-kerja penyelamatan lelaki tersebut mengambil masa kira-kira 10 minit.
Kosmo! Online semalam melaporkan seorang penjawat awam nyaris maut setelah kereta Perodua Myvi dinaikinya hanyut dibawa arus deras di Jalan Chukai-Air Putih berhampiran Kampung Batu 10, Pasir Gajah, di sini. – K! ONLINE