fbpx

Bergaduh dengan awek kerana OCD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DISEBABKAN masalah OCD, Halim akan pastikan pintu rumahnya dikunci secara berulang kali, barulah dia berasa tenang. – Gambar hiasan

MELAKUKAN sesuatu perkara secara berulang kali sehingga berasa puas hati ternyata memberi masalah buat seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Halim.

Halim menjelaskan, masalah gangguan obsesif kompulsif (OCD) menghantui dirinya sejak usia belasan tahun lagi.

“Saya sendiri tidak mengerti bagaimana masalah ini boleh ada pada saya.

“Ada beberapa perkara yang saya perlu lakukan berulang kali sehingga berpuas hati. Selagi tidak berpuas hati, selagi itu saya tidak berasa tenang,” katanya.

Tambahnya, masalah itu menghantui dirinya mungkin disebabkan oleh rasa kurang keyakinan terhadap diri sendiri membuatkannya dia sering berasa was-was dalam sesuatu perkara sehingga melakukan secara berulang kali.

Antara perkara yang sering dilakukannya secara berulang kali adalah melibatkan peralatan elektrik.

“Sebelum keluar rumah saya akan memastikan kesemua suis untuk peralatan elektrik ditanggalkan. Saya rasakan jika tidak ditanggalkan, ia akan boleh menyebabkan kebakaran.

“Pernah beberapa kali ketika dalam perjalanan ke tempat kerja saya pulang semula ke rumah bagi memastikan suis peralatan elektrik seperti seterika dicabut. Walhal saya telah menanggalkannya selepas menggunakannya,” katanya.

Tambahnya, masalah itu kadangkala membuatkannya sering lewat ke tempat kerja.

Selain itu, begitu juga dengan pintu rumah setelah berpuas hati bahawa ia dikunci barulah Halim akan berasa tenang.

Tegasnya, selalunya dia memang akan mengunci rumah apabila keluar.

“Tetapi apabila saya melangkah keluar untuk turun ke kereta tiba-tiba saya dapat rasakan seperti pintu rumah belum dikunci.

“Saya akan naik semula ke rumah bagi memastikan ianya betul-betul dikunci. Kadangkala saya melakukan perkara itu hampir dua atau tiga kali dalam satu masa,” jelasnya.

Begitu juga ketika dia keluar dengan menggunakan kereta.

Baginya, dia akan berulang kali memeriksa pintu kereta agar benar-benar dikunci.

Kerana sifatnya begitu dia pernah bergaduh dengan teman wanitanya sewaktu mereka keluar bersama ke pusat beli-belah.

“Ada satu ketika, secara tiba-tiba fikiran saya terfikir tentang pintu kereta sama ada sudah dikunci atau belum.

“Saya memberitahu teman wanita saya untuk pergi memeriksanya bagi memastikan benar-benar dikunci.

“Teman wanita saya menyatakan bahawa saya telah menguncinya setelah kami keluar dari kereta.
Tapi saya tidak yakin dan berasa bimbang dan perlu melihat sekali lagi sama ada telah dikunci atau tidak,” katanya lagi.

Tambahnya, situasi itu kadangkala membuatkan dia dan teman wanitanya bertengkar kecil.

 

PERASAAN was-was yang ada pada dirinya disebabkan masalah OCD, Halim sering bergaduh dengan teman wanitanya selepas dia sering terlupa sama ada pintu keretanya dikunci atau tidak. – Gambar hiasan

Kesemua perkara itu dia akan lakukan beberapa kali sehinggalah berasa puas hati.

Selagi tidak berpuas hati perasaannya akan berasa bimbang, resah dan risau menyelubungi diri.

Dalam pada itu, kini dalam usaha untuk menyelesaikan masalah itu, Halim akan merakam gambar menggunakan telefon pintar setiap kali dia mencabut suis peralatan elektrik dan juga ketika mengunci rumahnya dengan menggunakan mangga keselamatan.

Jika tiba-tiba fikirannya merasa tidak yakin dan was-was dia akan membuka telefon pintarnya dan melihat gambar yang telah diambilnya bagi meyakinkan dirinya.

Selain itu, masalah itu juga sering berlaku ketika dia mengambil wuduk untuk menunaikan solat.

“Kebiasaanya jika di rumah saya akan mandi terlebih dahulu sebelum solat. Setelah mandi, saya akan terus mengambil wuduk.

“Tetapi setelah siap menyarung pakaian tiba-tiba berlegar di fikiran saya perasaan tidak yakin bahawa sudahkan saya mengambil wuduk. Saya kemudian akan mengambil semula wuduk untuk meyakinkan diri,” katanya.

Halim menjelaskan, buat masa ini, dia tidak pergi berjumpa dengan pakar untuk mendapatkan khidmat nasihat tentang masalah yang dia alami.

“Saya mengetahui berhadapan dengan masalah OCD melalui pencarian dan pembacaan di internet.

“Simptom yang saya hadapi ini sama seperti huraian tentang masalah OCD yang saya baca tentang pengalaman mereka yang mengalaminya.

“Buat masa kini, saya masih belum mempunyai kesedaran bertemu pakar untuk mendapatkan rawatan tentang masalah yang saya hadapi ini.

“Saya rasakan ia masih boleh dikawal dan tidak memberi kesan yang besar sangat dalam kehidupan. Tetapi jika masalah itu semakin teruk mungkin saya akan mendapat rujukan pakar,” bicaranya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI