PETALING JAYA – Penyanyi To’ki berdepan kecaman hebat pengguna laman sosial apabila dia berkongsi beberapa keping gambar memegang seekor anjing dalam Facebooknya Jumaat lalu.
Dalam hantaran berkenaan, pelantun lagu Hampa itu dilihat memegang seekor anjing bersama isterinya Sharifah Fairuz Syed Yusof, 48.
Bagaimanapun jelas To’ki atau nama sebenarnya Mohd. Zaki Mansur, 53, dia bergambar dengan anjing berkenaan kerana mahu membawanya ke klinik veterinar bagi mendapatkan rawatan.
“Tidak perlu risau akan masalah haram atau tidak. Perkara ini kenapa kita nak jadi jumud sangat. Tidak pernah ada dalam hidup saya untuk beriman kepada sunnah. Anjing tiada dosa pun.
“Soal pegang anjing itu, bukannya haram. Haram kalau kita makan dagingnya sahaja. Jadi kalau pegang tiada masalah kalau kita kering, anjing itu dalam keadaan kering. Dia pun makhluk Allah juga,” katanya dalam sebuah video yang dikongsi dalam Facebook miliknya awal pagi Sabtu lalu.
Susulan perkongsian tersebut, To’ki dan isterinya menerima pelbagai kecaman netizen yang menggelarkan mereka jahil agama.
Meskipun hebat dikecam, penyanyi yang popular sekitar era 1990-an itu berlapang dada dan mengaku salah andainya tindakan tersebut menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan masyarakat.
“Nauzubillah. Saya tidak pernah pun kata saya pandai agama. Saya minta maaf sebab kongsi gambar-gambar berkenaan dalam media sosial.
“Kalau perkongsian tersebut tidak digemari. Saya akan padam untuk jaga perasaan semua orang,” katanya sambil menjawab kecaman netizen dalam video tersebut. – K!ONLINE