PETALING JAYA – Penyanyi muda Fareez Fauzi yang merupakan anak kepada pasangan pelakon Fauzi Nawawi dan Lisdawati selamat bergelar suami dalam sebuah majlis pernikahan yang berlangsung siang tadi.
Perkara berkenaan dikongsikan sendiri Lisdawati menerusi Instagramnya dengan memuat naik beberapa keping gambar bersama anak keduanya itu dan menantu mereka.
Menurut Lisda atau nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin, 42, majlis pernikahan secara kecil-kecilan tersebut diadakan secara tertutup di Sri Menanti, Seremban, Negeri Sembilan.
“Syukur alhamdulillah, dengan izin dan takdir Allah SWT. Hari ini 20 Disember 2020 merupakan tarikh pernikahan anak kedua kami @iamfareezfauzi dengan pasangannya @tyqawahab.
“Mama dan babah doakan semoga ikatan yang terbina ini akan kekal sehingga ke jannah,” tulisnya berserta emoji hati.
Fareez, 23, yang merupakan juara program realiti Mentor Milenia 2016 sebelum ini mengikat tali pertunangan dengan Tyqa, 22, pada 12 September lalu.
Pasangan itu sudah menjalin hubungan cinta selama tujuh tahun sejak di bangku sekolah menengah. – K!ONLINE