fbpx

26 motosikal musnah dijilat api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada 26 buah motosikal yang musnah terbakar dalam kebakaran di Desa Tun Razak, Kuala Lumpur lewat malam tadi. Foto Ihsan Bomba KL

PETALING JAYA – Sebanyak 26 buah motosikal pelbagai jenis musnah 100 peratus selepas dijilat api dalam satu kebakaran di kawasan parkir motosikal di Blok 2, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, Kuala Lumpur lewat malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur memaklumkan telah menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.48 tengah malam sebelum menggerakkan dua jentera dengan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak dan BBP Sungai Besi ke lokasi.

Komander Operasi, Pegawai Kanan Bomba II Azhar Abd. Rahman berkata, sebaik tiba di lokasi, anggota bertugas terus melakukan kerja-kerja mengawal api agar kebakaran tidak merebak.

“Pemeriksaan dilakukan mendapati sebanyak 26 buah motosikal yang diletakkan di kawasan parkir di bahagian bawah blok berkenaan telah musnah 100 peratus dijilat api.

“Kebakaran dapat dikawal pada pukul 1.02 pagi sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira lima minit kemudian,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Difahamkan, tiada sebarang kecederaan atau kematian dilaporkan dan punca kejadian masih di dalam siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, jika hasil siasatan pihak bomba mendapati wujudnya unsur jenayah, maka siasatan lanjut akan diteruskan oleh pihak polis.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden kebakaran ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Yeo Chee Meng di talian 017-260 5233 atau Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di talian 03-9284 5050 dan 03-9284 5051 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI