PETALING JAYA – Wang simpanan seorang wanita berjumlah RM1.8 juta lesap diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis.
Mangsa berusia 66 tahun itu tampil membuat laporan berhubung kejadian menimpanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya hari ini.
Polis Selangor dalam satu kenyataan berkata, hasil siasatan mendapati mangsa menerima panggilan daripada Pos Laju pada April lalu mendakwa terdapat bungkusan atas namanya yang mengandungi kad ATM dan kad pengenalan.
Katanya, wanita itu menafikan perkara tersebut sebelum panggilannya itu disambung kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah kononnya untuk membuat laporan polis.
“Suspek yang menyamar sebagai pegawai polis kemudian mendakwa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan kes penipuan.
“Takut dengan ugutan dirinya bakal diberkas, mangsa bertindak mengikut arahan suspek dengan memindahkan wang simpanan ke akaun bank yang diberikan,” katanya.
Menurutnya lagi, mangsa membuat pemindahan secara berperingkat ke 29 akaun bank yang diberikan suspek.
“Selain wang simpanan, sebahagian duit itu dipinjam daripada saudara serta rakannya sehingga mencecah jumlah RM1.8 juta.
“Mangsa menyedari dirinya diperdaya sebelum tampil membuat laporan,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan sama, Polis Selangor turut melahirkan rasa kecewa atas sikap masyarakat yang masih mudah percaya kepada taktik penipuan Macau Scam walaupun pelbagai kempen dibuat untuk memberikan pengetahuan kepada masyarakat agar tidak menjadi mangsa.
“Sekali lagi saya ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa rujuk pihak polis, saudara atau rakan-rakan sebelum membuat sebarang transaksi pemindahan ke akaun bank tidak dikenali,” katanya. – K! ONLINE