SEPANG – Tourism Malaysia akan memperluaskan pakej istimewa sempena kempen Cuti-cuti Malaysia khas untuk 1.6 juta penjawat awam di lima negeri mulai awal tahun depan.
Pengarah Kanan Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar berkata, pakej fasa pertama sebelum ini yang tertumpu di Lembah Klang akan diperluas ke lima negeri iaitu Johor, Pulau Pinang, Pahang, Sabah dan Sarawak.
Katanya, kempen itu adalah inisiatif Tourism Malaysia bagi membantu merancakkan industri pelancongan domestik selepas pemain industri berhadapan kerugian tinggi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu akibat Covid-19.
“Kempen fasa pertama diadakan di Lembah Klang bermula September lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada kakitangan kerajaan kerana potongan harga sehingga 30 peratus di tempat-tempat yang menawarkan pekej pelancongan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Jom Makan Angin & Support Lokal di Avani Sepang Goldcoast Resort, Bagan Lalang, dekat sini hari ini.
Kata Ammar, pakej istimewa kempen Cuti-cuti Malaysia khas untuk penjawat awam bertujuan membantu kerajaan meningkat pendapatan dalam bidang pelancongan kerana golongan tersebut tidak terjejas pendapatan sepanjang tempoh PKP berbanding yang bekerja di sektor swasta dan bidang perniagaan.
Menurutnya lagi, penjawat awam hanya perlu menunjukkan kad perakuan Jabatan apabila mengunjungi tempat-tempat pelancongan yang menawarkan potongan harga.
“Bagi orang awam yang ingin melancong, mereka boleh membuat pemilihan di tempat-tempat yang menawarkan potongan harga bersesuaian dengan bajet masing-masing.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar berwaspada dengan promosi ditawarkan supaya mereka tidak ditipu oleh pihak tidak bertanggungjawab dan ejen pelancongan tidak berlesen sehingga menimbulkan kerugian,” katanya.-K! ONLINE