fbpx

Tiga lelaki warga asing miliki dadah dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dadah jenis methamphetamine dan heroin bernilai kira-kira RM145,000 yang dirampas dari tiga lelaki warga Myanmar menerusi satu serbuan di Taman Prima Selayang, Batu Caves, Gombak.

GOMBAK – Tiga lelaki warga asing ditahan kerana memiliki dadah dalam satu serbuan di hadapan sebuah pasar mini di Taman Prima Selayang, Batu Caves di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, serbuan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak kira-kira pukul 10 pagi susulan maklumat dan risikan yang dilakukan.

“Menerusi serbuan tersebut pihak polis telah berjaya menahan tiga lelaki warganegara Myanmar dan merampas beberapa peket plastik lutsinar yang dipercayai mengandungi dadah daripada suspek.

“Tiga peket plastik lutsinar berisi bahan kristal disyaki dadah jenis syabu dijumpai di dalam sebuah kereta jenis Honda City dan dua peket plastik lutsinar berisi bahan berwarna merah jambu disyaki dadah jenis heroin pula dijumpai di dalam kereta jenis Perodua Kembara,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Arifai, ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas ketiga-tiga suspek berusia 29 hingga 46 tahun itu mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR), tiada sebarang pekerjaan dan semakan dilakukan turut tidak menemui sebarang rekod jenayah lampau.

“Kesemua rampasan dadah dianggarkan bernilai kira-kira RM145,000 malah pihak kami turut merampas dua buah kereta jenis Honda City dan Perodua kembara yang dipercayai disewa oleh suspek,” jelas beliau.

Tambah beliau, kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 24 Disember bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI