MELAKA – “Setiap kali anak-anak saudara yang masih kecil bermain di rumah, saya terkenangkan anak-anak kami, baju mereka, alat permainan mereka, sayu untuk dilihat.”
Itu luahan Muhammad Alhafiz Mohamad, 29, yang kehilangan tiga anak lelakinya serentak dalam kemalangan di Kilometer 272.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Taman Rekreasi Gunung Lang di Ipoh kira-kira pukul 2.45 petang pada Rabu lalu.
Tiga beradik yang maut ialah Muhammad Adam Hakimi, 7; Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy, 1.
Muhammad Alhafiz berkata, sejak hari kejadian, dia masih belum boleh melelapkan mata kerana sangat pilu dan sedih dengan pemergian semua insan tersayang.
Menurutnya, dia kini perlu menguruskan beberapa dokumentasi arwah anak-anaknya di Melaka sebelum pergi ke Ipoh untuk memantau keadaan isterinya, Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh selepas cedera parah akibat kemalangan maut itu.
“Saya tidak sabar untuk melihat isteri sembuh semula dan membawanya balik ke Melaka untuk menziarahi pusara anak-anak kami.
“Namun, tidak dinafikan pada saat itu nanti, saya pasti sukar untuk memberitahunya mengenai pemergian anak-anak syurga kami. Apa-apa pun saya akan memberitahunya apabila tiba waktu yang sesuai,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Jati di sini semalam.
Muhammad Alhafiz juga berharap mahu spekulasi mengenai hal rumah tangganya dihentikan.
“Doakan keajaiban buat isteri saya yang sedang ‘berjuang’ untuk sembuh dan kekuatan buat kami sekeluarga menghadapi dugaan berat ini,” katanya.
Spekulasi itu timbul apabila satu dokumen berkaitan kes syariah di Mahkamah Rendah Syariah Melaka antara Nur Aimi Nadiah dengan dirinya ditemui di dalam kereta Perodua Axia yang dipandu isterinya ketika kemalangan.
Mengulas lanjut mengenai keadaan isterinya, Muhammad Alhafiz yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat swasta memberitahu, Nur Aimi masih ‘ditidurkan’ oleh doktor dan segala perkembangan kesihatan dimaklumkan melalui telefon.
“Buat sementara ini, doktor tidak menasihati saya untuk melawatnya kerana keadaan yang belum mengizinkan sehingga dia betul-betul stabil,” katanya.
Di Ipoh, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, Nur Aimi dijangka menjalani pembedahan berikutan kecederaan dalaman yang dialaminya akibat kemalangan itu.
“Mangsa mengalami pendarahan dalaman terutama di bahagian hati dan keadaannya kini dipantau rapi pasukan perubatan,” ujarnya.