TORONTO, Kanada – Seekor rusa jenis whitetail buck dianggap bernasib baik apabila tidak mengalami sebarang kecederaan serius walaupun terdapat sebatang anak panah tertusuk pada kepalanya.
Jurugambar hidupan liar, Lee-Anne Carver mengenali rusa yang diberi nama Carrot itu selepas haiwan itu kerap berkeliaran dekat kawasan rumahnya di Kenora, Ontario sejak tiga tahun lepas.
Menurut laporan NewYork Post kelmarin, suami Carver menyedari terdapat anak panah berwarna hijau terang telah menembusi kepala Carrot pada minggu lalu.
Apabila Carver keluar untuk menyiasat, Carrot kelihatan seperti tiada apa-apa yang berlaku, katanya kepada akhbar The Guardian.
“Ia satu keadaan yang menyeksakan untuk dilihat.
“Namun, rusa itu berkelakuan seperti biasa,” ujar Carver.
Walaupun pegawai tempatan telah berjanji kepada Carver bahawa mereka tidak akan mematikan Carrot, pegawai dan pemburu berpendapat, tindakan membuang anak panah mungkin lebih membahayakan nyawa rusa itu.
Ini kerana tusukan anak panah pada kepalanya sekarang mungkin mencegah pendarahan daripada berlaku.
Namun, menurut perkembangan terkini Carrot pada Rabu lalu, pegawai daripada Kementerian Sumber Asli dan Perhutanan Ontario dan Polis Wilayah Ontario berjaya memotong bahagian atas anak panah yang meterpacak pada kepala rusa itu.
Berita itu dikemas kini oleh Carver di laman Facebook yang diwujudkan atas nama “Carrot Magic Deer” dan sudah memiliki 1,181 pengikut.
“Bahagian bawah anak panah tidak dipotong namun khabar baiknya adalah jika proses penyembuhan berlaku seperti yang dirancang, anak panah akan tertanggal sendiri akhirnya.
“Masih terdapat risiko jangkitan tetapi jika semuanya berjalan seperti yang diharapkan, ia akan sembuh dan anak panah selebihnya akan keluar,” kata Carver. – Agensi