SHEFFIELD – Penyerang prolifik Manchester United, Marcus Rashford bangga dengan sikap tidak putus asa dan semangat juang tinggi dipamerkan mereka ketika menang 3-2 ke atas Sheffield United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Bramall Lane awal pagi semalam.
Rashford, 23, menjelaskan, The Red Devils tidak terkesan meskipun ketinggalan satu gol seawal minit kelima disebabkan kesilapan penjaga gol kedua, Dean Herderson ‘menghadiahkan’ jaringan buat penyerang Sheffield, David McGoldrick.
Ia terbukti apabila anak-anak buah Ole Gunnar Solskjaer itu berjaya bangkit meledak tiga gol untuk menjadikan kedudukan 3-1 menerusi dua jaringan Rashford pada minit ke-26 dan 51 selain satu daripada Anthony Martial (m-33).
“Sekali lagi kami membuktikan mampu bangkit untuk memenangi perlawanan walaupun ketinggalan satu gol terlebih dahulu. Kami percaya gol ketiga kami telah ‘membunuh’ perlawanan ini walaupun Sheffield berjaya menjaringkan gol kedua.
“Kami tidak mengalah dan terus berusaha sepanjang 90 minit permainan untuk memastikan tiga mata menjadi milik kami dalam perlawanan ini,” kata Rashford.
Kemenangan itu menyaksikan United berjaya melonjak ke tangga keenam liga dengan 23 mata selepas 12 perlawanan, satu mata sahaja lagi untuk kembali menempatkan diri mereka dalam kelompok empat teratas.
Justeru, Rashford menggesa rakan-rakan sepasukannya mengekalkan momentum cemerlang di tempat lawan musim ini, apabila turun menentang Leeds pada aksi seterusnya di laman sendiri, Stadium Old Trafford awal pagi Isnin ini.
“Walaupun ia kedengaran mudah tetapi sukar sebenarnya untuk menang kesemua enam aksi di tempat lawan musim ini. Saya harap kami dapat menunjukkan prestasi sama apabila bermain di tempat sendiri selepas ini,” katanya. – AGENSI