RANTAU PANJANG – Pasukan Polis Marin (PPM), Wilayah 3, Pengkalan Kubor di sini telah diarahkan untuk membantu semua agensi penguatkuasa dalam membantu operasi menyelamat berikutan gelombang kedua banjir melanda negeri ini sejak semalam.
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Datuk Shafien Mamat berkata, tiga bot membabitkan 15 anggota PPM akan digerakkan ke kawasan yang terlibat dengan banjir di Rantau Panjang.
Katanya, semua anggota ditugaskan untuk menjalankan rondaan dan pemantauan di kawasan yang terlibat dengan banjir di kawasan berkenaan.
“Setakat ini, enam pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Rantau Panjang berikutan beberapa kawasan rendah mula dinaiki air.
“Meskipun hujan tidak menentu, namun ia turun dengan lebat sehingga menyebabkan peningkatan paras air Sungai Golok dengan begitu cepat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu melawat Balai Polis Rantau Panjang di sini yang mula ditenggelami air sedalam 0.5 meter sejak malam tadi.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif.
Mengulas lanjut,Shafien berkata, orang ramai yang terjejas dengan banjir tidak perlu bimbang untuk meninggalkan rumah mereka untuk berpindah ke PPS kerana pihak sentiasa melakukan rondaan di kawasan terlibat.
Katanya, orang ramai harus berhati-hati pada musim banjir selain perlu mengawasi pergerakan anak-anak bagi mengelak berlakunya kejadian yang tidak diingini. – K! ONLINE