TUMPAT – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 merampas sebanyak 80 tong berisi minyak petrol bernilai RM3,560 dalam serbuan di pangkalan haram Ular, Pengkalan Kubor di sini malam tadi.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, rampasan itu dilakukan pada pukul 11.34 malam tadi sewaktu anggota PGA melakukan rondaan di kawasan tersebut.
“Semasa rondaan dijalankan, anggota PGA telah melihat dua orang lelaki sedang memunggah tong di tebing Sungai Golok di bahagian sempadan negara ini.
“Mereka bertindak melarikan diri ke seberang sungai menggunakan perahu ke negara jiran selepas menyedari kehadiran anggota PGA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azhari memberitahu, pemeriksaan lanjut di kawasan itu telah membawa kepada penemuan tong berisi minyak petrol yang disyaki cuba diseludup ke negara menggunakan laluan haram.
Katanya, kesemua barangan kes dibawa ke Balai Polis Kuala Jambu untuk pemeriksaan lanjut.-K! ONLINE