fbpx

Pengayuh basikal maut di Putrajaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kemalangan maut membabitkan penunggang basikal wanita dengan sebuah lori. foto Ihsan Facebook Mohd. Shukri

PUTRAJAYA – Seorang pengayuh basikal wanita maut dalam kejadian kemalangan membabitkan sebuah lori di Jambatan Putrajaya yang juga laluan ke Presint 8, Presint 9 dan Presint 10 di sini hari ini.

Difahamkan dalam kejadian pukul 9.40 pagi, mangsa yang berusia 34 tahun dari Subang Jaya, Selangor meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Seorang saksi, Mohd. Shukri @ Budiman Hassan, 43, berkata, dia menyedari kejadian tersebut sewaktu melalui laluan di Presint 10 untuk pulang ke rumahnya di Presint 11.

“Saya baru habis beriadah serta menggunakan laluan di Presint 10 untuk pulang ke rumah dan ketika itu, saya sedang memandu di belakang sebuah lori.

“Kemudian, saya ternampak lori tersebut seolah-olah seperti terbabas dan saya memperlahankan pemanduan. Tiba-tiba saya ternampak sesuatu objek terjatuh di atas jalan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Keadaan basikal mangsa.

Saksi tersebut berkata, dia menyangkakan objek yang terjatuh itu adalah barangan seterusnya menyedari ia mangsa kemalangan membabitkan pengayuh basikal.

Ujarnya lagi, dia membunyikan hon bagi memaklumkan pemandu lori tersebut dan memberhentikan keretanya untuk melihat keadaan mangsa yang terbaring di atas jalan.

“Saya periksa nadi mangsa dan keadaannya sudah tidak bernyawa. Saya terus menghubungi ambulans serta polis bagi memaklumkan kejadian itu.

“Pada masa sama, terdapat sekumpulan pengayuh basikal melalui jalan tersebut dan turut berhenti bagi memberikan pertolongan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata, dia tidak nampak lori tersebut berlanggar dengan mangsa dan hanya menyedari selepas terlihat wanita itu terbaring.

“Saya nampak lori tetapi tidak nampak kejadian ia berlanggar. Saya ingatkan lori itu terbabas rupanya terdapat mangsa kemalangan pengayuh basikal,” katanya.

Ditanya mengenai keadaan mangsa, saksi tersebut berkata, mangsa dilihat mengalami luka selain terdapat sedikit kesan tayar manakala topi keledar yang dipakai turut pecah.

“Keluarga mangsa ketika dihubungi memaklumkan mangsa berasal dari Subang Jaya dan datang ke Putrajaya seorang diri untuk menjalankan aktiviti kayuhan basikal,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Putrajaya, Superintendan Vijaya Rao Samachulu ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu manakala, pemandu lori serta lori tersebut ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI