GUA MUSANG – Hujan berterusan sejak tiga hari lalu menyebabkan laluan di lima buah kampung di daerah ini dilimpahi air banjir hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan Sik Choon Foo berkata, paras air sungai di tiga sungai utama termasuk Sungai Galas, Sungai Nenggiri dan Sungai Lebir berada pada paras amaran.
Katanya, air sungai telah melimpahi beberapa kawasan termasuk laluan masuk ke Kampung Limau Kasturi, Kampung Batu 11, Kampung Batu 12, Kampung Pasir Linggi dan Kampung Aring 5.
“Bagaimanapun, belum ada mangsa berpindah ke pusat pemindahan sementara setakat petang ini.
“Di Kampung Limau Kasturi pula terdapat kira-kira 10 buah rumah yang air sungai sudah mencecah tangga rumah, namun penghuninya masih belum berpindah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Choon Foo turut meminta agar penduduk terbabit memberi kerjasama dengan berpindah awal bagi mengelak sebarang risiko tidak diingini.
Sementara itu, seorang penduduk Kampung Limau Kasturi, Saodah Mahmud, 60, berkata, sudah tiga kali air sungai itu melimpahi tebing sehingga menyebabkan dia bersama keluarga bersiap sedia berpindah dalam tempoh dua bulan.
Katanya, air sungai naik terlalu cepat apabila hujan lebat.
“Hari ini, kami sudah mengemas barang untuk disimpan di tempat tinggi dan akan berpindah sekiranya air terus naik.
“Setiap tahun saya bersama tiga lagi keluarga lain sudah berdepan banjir kerana rumah kami terletak di pinggir Sungai Galas,” katanya.-K! ONLINE