fbpx

Ketuk pintu sebelum pecah masuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZRIL ISMAIL menunjukkan beg sandang isterinya yang mengandungi wang tunai RM300 yang telah dilarikan pencuri di rumah mereka di Seksyen 23, Shah Alam baru-baru ini.

SHAH ALAM – Kejadian ketukan pintu tanpa salam yang menghantui penduduk di beberapa buah daerah di Selangor didapati telah digunakan oleh penjenayah untuk menakut-nakutkan penghuni sebelum memecah masuk rumah mangsa.

Modus operandi yang dilakukan penjenayah adalah dengan mengetuk pintu rumah mangsa beberapa kali dan dalam masa yang sama, memotong jeriji besi sebelum memecah masuk tanpa disedari penghuni yang berada di rumah berkenaan.

Dalam kejadian di Jalan Tarif Empat, Seksyen 23 di sini pada 12 Disember lalu, seorang penjual produk kesihatan, Azril Ismail Mohd. Rabai, 35, mengalami kerugian selepas rumah teres dua tingkat yang dihuni bersama keluarga dipecah masuk pencuri.

Kejadian itu menyebabkan mangsa kerugian wang tunai RM300 milik isterinya yang di­letakkan di dalam beg sandang yang dilarikan suspek.

Berita berkaitan https://www.kosmo.com.my/2020/11/22/ada-makhluk-ketuk-pintu-penduduk/

“Kejadian bermula selepas saya dikejutkan dengan bunyi ketukan kuat sebanyak dua kali pada pukul 2.15 pagi ketika sedang tidur bersama dua anak di sebuah bilik di tingkat dua. Ketika itu, isteri tidak berada di rumah kerana sedang bertugas sebagai jururawat di sebuah hospital swasta.

“Saya terus menghubungi isteri untuk bertanyakan sama ada dia yang mengetuk pintu bilik atau tidak dan isteri maklumkan dia masih berada di hospital.

“Bimbang perkara buruk berlaku, saya biarkan sahaja bunyi ketukan itu kerana menyangka ia adalah gangguan ketukan pintu. Lagipun, ketika itu memang kecoh mengenai misteri ketukan yang berlaku di beberapa buah daerah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Azril memberitahu, dia hanya mengetahui rumahnya telah dimasuki pencuri selepas mendapati pintu utama kediamannya dalam keadaan tidak berkunci ketika menyambut isterinya pulang ke rumah pada pukul 7.30 pagi.

Dakwanya, dia sebenarnya te­lah mengunci keseluruhan pintu rumah termasuk pada bahagian dapur sebelum tidur pada pukul 11 malam.

Berita berkaitan https://www.kosmo.com.my/2020/12/08/penduduk-kampung-melayu-majidee-turut-diganggu/

“Selepas memeriksa keseluruhan rumah, saya terkejut apabila melihat jeriji besi di bahagian dapur telah patah, manakala isteri pula maklumkan wang tunai miliknya berjumlah RM300 yang diletakkan di dalam beg kecil te­lah hilang,” tambahnya.

Menurut Azril, susulan keja­dian itu, dia telah membuat laporan di Balai Polis Sri Muda, Shah Alam.

“Dua hari selepas itu, saya menerima berita daripada penduduk menerusi aplikasi Whats­App yang memaklumkan terdapat juga kejadian pecah masuk di kawasan berdekatan rumah saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan menerima laporan tersebut dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Misteri ketukan pintu tanpa salam mula dikesan berlaku pada 18 November lalu apabila penduduk di empat buah kampung di Sabak Bernam mendakwa diganggu bunyi bising pada waktu malam.

Bagaimanapun, rondaan penduduk selama beberapa hari di kampung berkenaan gagal mene­mui jejak pelaku, sebaliknya ada pihak mendakwa gangguan itu mempunyai kaitan dengan makhluk halus.

Ini bLebih membimbangkan, misteri ketukan itu kemudian telah merebak ke beberapa negeri termasuk di Johor, Melaka dan Pahang sehingga mencetuskan panik dalam kalangan penduduk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI