TAHUN 2020 bakal menutup kalendarnya sedikit hari lagi. Jadi, manusia mana yang paling tekun dan memaksimumkan ruang karya sepanjang tahun yang penuh dengan cabaran ini. Dalam konteks penulisan ini, antara individu yang paling layak mendapat pujian tersebut ialah Taylor Swift.
Masakan tidak, beberapa bulan selepas melahirkan diskografi berjudul Folklore, Swift hadir lagi dengan album yang pantas mengagumkan peminat menerusi, Evermore.
Perlu diingatkan, Swift atau nama lengkapnya, Taylor Alison Swift bukan meluncurkan single baharu, sebaliknya dia membikin dua buah album baharu dalam tempoh setahun dengan jarak kelahiran album tersebut hanya sekitar dua bulan.
Dalam isolasi dan proses pengurungan yang masih perlu ditaati disebabkan pandemik Covid-19, dia bikin muzik yang kualitinya tidak perlu disangkal lagi. Persoalan untuk Swift, dari mana dia bertemu masa dan tenaga untuk melahirkan dua buah album secara back to back? Ini gila.
Bercakap tentang Evermore, penulis kagum dengan album berkenaan.Mudah disimpulkan sebagai satu kesinambungan rentetan daripada Folklore yang cermat dan bijak penerbitannya.
Penulis katakan begini kerana, siapa penyanyi atau pemuzik arus perdana yang muncul dengan dua album dalam tempoh terdekat pada tahun yang sama?
Jawapannya: Tiada orang lain melainkan wanita bernama Taylor Swift.
Lebih gila, album berkenaan diluncurkan secara mengejut iaitu beberapa jam sebelum Swift mengumumkan perkara tersebut kepada peminatnya dalam Instagram.
Evermore memuatkan 15 buah lagu dengan menjadikan trek pertama berjudul Willow dipilih Swift sebagai single perdana daripada album yang diterbitkan Republic Records tersebut.
Willow yang ditulis oleh Swift sendiri dan Aaron Dessner merupakan satu ‘bop’ bernuansa indie folk bercampur pop yang sangat indah bukan sahaja dari segi melodi dan susunan muzik, bahkan nukilan liriknya.
Bagi sesetengah orang, Willow memberi perlambangan tentang cinta dan harapan. Barangkali bagi Swift, Willow merupakan satu tribut buat kekasihnya, Joe Alwyn yang dicintainya.
Menerusi lirik dan ditambah dengan muzik video yang baru dilancarkan, Swift seperti memberi petanda bahawa dia sudah bersedia untuk ke fasa selanjutnya dalam hidup iaitu perkahwinan.
“Wherever you stray, I follow I’m begging for you to take my hand, Wreck my plans, that’s my man.”
Bait-bait lirik di atas seperti memberi petanda yang Swift sudah bersedia bergelar isteri kepada Alwyn, walaupun hubungan mereka sukar dihidu media mahupun paparazzi.
Kesinambungan, puitis
Penulis secara peribadi melihat Evermore sebagai kesinambungan kisah yang diceritakan menerusi Folklore. Oleh sebab itu, album berkenaan boleh digelar sebagai ‘adik’ kepada Folklore yang dilancar Julai lalu.
Selain Willow, penulis gemarkan melodi dan lirik dalam Champagne Problems yang juga merupakan trek kedua dalam Evermore. Sungguh tiada kompromi, Swift bukan hanya menulis lagu sebaliknya segugus puisi.
Swift sekali lagi bekerjasama dengan Bon Iver dalam trek terakhir yang merupakan judul album, Evermore. Buat Swifties (peminat Swift), umum tahu jika Swift dan Iver berkolaborasi, melodi dan naratif lirik boleh memberi epitome seperti pasangan kekasih yang asyik bercinta.
Folklore sudah mendapat ganjarannya apabila menjadi antara saing kukuh dalam Grammy Awards. Pasti, Evermore mengikuti jejak serupa untuk edisi selanjutnya.