AKSI menarik ditampilkan Johor Tigris dan Selangor Pistons pada perlawanan ke-10 Liga Sepak Takraw (STL) yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur semalam.
Kedua-dua pasukan mempersembahkan aksi cukup menghiburkan hingga perlawanan diheret ke set ketiga, namun tuah menyebelahi Johor Tigris apabila menang 21-14, 14-21, 24-22.
Kapten Johor Tigris, Mohd. Muqlis Borhan mengakui, dia sedikit gugup pada awal perlawanan memandangkan terlalu lama berehat daripada aksi kompetitif.
Bagaimanapun, kepercayaan yang ditunjukkan jurulatih, Ahmad Jais Baharun sedikit sebanyak menyuntik semangat kepadanya untuk mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan tersebut.
“Pertama sekali, syukur Alhamdulillah kerana berjaya catat kemenangan pada perlawanan sulung selepas saingan liga kembali bersambung. Satu perlawanan yang cukup sengit sebenarnya.
“Secara jujur, saya minta untuk tidak beraksi hari ini (semalam) kerana rasa agak ‘goyang’ memandangkan sudah lama tidak bermain. Bagaimanapun, saya cuba tampilkan aksi terbaik atas kepercayaan yang diberikan,” katanya sejurus tamat perlawanan.
Mengulas aksi longlai ditampilkan pada set kedua, Muqlis menegaskan, keadaan itu disebabkan oleh servis mantap yang dilakukan tekong Selangor Pistons, Muhammad Haziq Hairul Nizam.
“Saya akui kami seperti hilang arah pada set kedua kerana servis yang dilakukan Haziq. Selain itu, pertahanan kami agak longgar hingga pasukan lawan mudah mendapatkan mata.
“Sementara itu, ketiadaan Muhammad Noraizat yang dikeluarkan pada penghujung set pertama turut menyebabkan gaya permainan kami sedikit perlahan,” ujarnya.