fbpx

Demon Slayer bakal pecah rekod filem terlaris di Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DUA wanita berjalan melintasi poster mempromosikan filem anime Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba the Movie: Mugen Train di sebuah pawagam di Tokyo pada Rabu lepas. – AFP

TOKYO – Sebuah epik anime tentang seorang remaja yang memburu dan memancung kepala puaka mencetuskan sensasi di pawagam dan bakal muncul sebagai filem yang mencatatkan kutipan tertinggi sepanjang zaman di Jepun.

Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba the Movie: Mugen Train merupakan filem adaptasi daripada komik manga popular dan berpotensi merampas ‘takhta’ yang dipegang filem terbitan Studio Ghibli, Spirited Away. Genre fantasi yang berada di pawagam pada 2001 itu memenangi anugerah Oscar untuk filem animasi terbaik.

Demon Slayer mengisahkan tentang kehidupan Tanjiro yang berubah selepas keluarganya dibunuh puaka. Filem itu meraih kutipan 30.3 bilion yen (RM1.17 bilion) sejak ditayangkan di pawagam pada Oktober lalu.

Dalam tayangan di Tokyo baru-baru ini, sekumpulan wanita berkata, mereka datang untuk menonton filem tersebut kerana ‘ia topik panas’ di Jepun.

Demon Slayer merampas kedudukan Titanic di tangga kedua dan dijangka mengatasi kutipan Spirited Away menjelang Krismas tahun ini.

Kejayaan filem baharu itu dicapai di sebalik pandemik koronavirus dengan rakyat Jepun digesa untuk tidak berkumpul, menyebabkan bentuk hiburan berkumpulan lain dielakkan.

Seorang penonton berumur 25 tahun dikenali sebagai Kei menonton filem itu bersama saudara perempuannya. Katanya, antara faktor Demon Slayer mendapat sambutan hangat adalah kerana orang ramai mempunyai banyak masa lapang akibat pandemik.

“Filem ini juga begitu popular kerana animasinya amat unik dan cantik,” katanya.

Demon Slayer berlatarbelakangkan era Taisho di Jepun dari tahun 1912 hingga 1926. Ia bermula sebagai siri manga dalam majalah komik Shonen Jump pada 2016.

Sementara itu, Jepun menyaksikan penularan Covid-19 terhad dengan kurang 2,600 kematian setakat ini walaupun bilangan kes baharu melonjak sejak beberapa minggu lalu.

Jepun tidak melaksanakan sekatan ketat seperti negara-negara lain, manakala pawagamnya masih dibuka walaupun langkah pencegahan seperti pemakaian pelitup muka diwajibkan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI